
Kepala Batas, 4 Oktober 2025 – Program Penanaman Pokok Pinang sempena Hari Lanskap Negara 2025 peringkat Negeri Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya di Setia Fontaines, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Program ini merupakan anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama Politeknik Seberang Perai (PSP) sebagai salah satu inisiatif memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar dan memperindah landskap bandar.
Berpegang pada tema “Hijaukan Bumi, Segarkan Komuniti”, program ini sejajar dengan komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG 11 & SDG 15), iaitu membentuk bandar dan komuniti yang lestari serta memelihara ekosistem daratan.
Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar, di samping memupuk semangat kesukarelawanan dan menggalakkan amalan gaya hidup hijau dalam kalangan pelajar, komuniti serta agensi yang terlibat.
Seramai 30 orang pelajar Semester 1 Politeknik Seberang Perai daripada pelbagai jabatan bersama enam orang pensyarah pengiring telah menyertai program ini.
Penyertaan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk memperoleh pengalaman langsung dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar, di samping membangunkan kemahiran insaniah (soft skills) seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan, serta kecekapan dalam menyelesaikan masalah.
Selesai sesi penanaman, para peserta turut menghadiri taklimat khas oleh pihak MBSP di Bilik Persidangan Setia Experience Centre. Taklimat tersebut memberi pendedahan mengenai pelan pembangunan landskap dan taman rekreasi termasuk Vision Park di Bertam, serta memperkenalkan inisiatif pengurangan jejak karbon (carbon footprint) yang sedang dilaksanakan di peringkat negeri.
Program ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan dan komuniti dalam merealisasikan agenda kelestarian negeri. MBSP turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ts. Mohamad Annuar Bin Morzuke, para pensyarah serta pelajar Politeknik Seberang Perai atas komitmen, kerjasama dan dedikasi yang telah diberikan sepanjang pelaksanaan program.
Secara keseluruhannya, Program Penanaman Pokok Pinang Sempena Hari Lanskap Negara 2025 bukan sahaja memberi impak positif terhadap kelestarian alam sekitar, malah berjaya menyemai kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan generasi muda untuk terus bersama-sama melestarikan bumi ke arah masa depan yang lebih hijau dan sejahtera.




