Audit sisa buktikan komitmen lestari PTSB

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
26 August 2026
Komuniti

SUNGAI PETANI – Komitmen Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terhadap kelestarian alam sekitar diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan nyata apabila berjaya mengutip 112.03 kilogram (kg) sisa pepejal di Pantai Pulau Sayak, di sini, sempena penganjuran Let’s Cleanup World 2026.

Tampil selaku penganjur bersama (co-organiser) pada peringkat global, PTSB telah menggerakkan seramai 108 sukarelawan yang terdiri daripada warganya untuk turun padang menggembleng tenaga memulihara pesisir pantai tersebut.

Program berimpak tinggi ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kedah, Encik Ahmad bin Din, yang turut menyokong sinergi antara institusi pendidikan dan komuniti dalam mendepani isu perubahan iklim.

Lebih membanggakan, gerak kerja pembersihan ini tidak terhenti pada kutipan sisa semata-mata. Setiap sisa yang dikumpul telah direkodkan secara sistematik melalui proses pengauditan sisa (waste auditing). Data yang diperoleh ini membuktikan bahawa tindakan lokal berskala kecil jika dilakukan secara kolektif, mampu menghasilkan impak alam sekitar yang boleh diukur secara saintifik.

Inisiatif proaktif ini selari dengan agenda TVET MADANI dan kelestarian global di mana PTSB menyumbang secara langsung kepada lima Teras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), merangkumi:

  • SDG 11: Bandar dan Masyarakat Mampan
  • SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab
  • SDG 13: Tindakan Iklim
  • SDG 14: Kehidupan Dalam Air
  • SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat

Menerusi penganjuran Let’s Cleanup World 2026, PTSB membuktikan bahawa institusi TVET bukan sekadar melahirkan graduan berkemahiran teknikal, malah membentuk warganegara yang mempunyai tahap literasi dan empati yang tinggi terhadap kelestarian bumi.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti