

KULAI, 8 Februari 2026 –Majlis Perasmian Eco-House @Bukit Permai telah dilaksanakan melalui kerjasama strategik Kolej Komuniti Kota Tinggi bersama pelbagai pihak termasuk Majlis Perbandaran Kulai, Jawatankuasa Pengurusan Pangsapuri, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta rakan industri, sekali gus menjadi contoh perkongsian pintar antara institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat dalam merealisasikan Agenda Kulai Lestari yang inklusif dan berdaya tahan. Penganjuran majlis ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkasa amalan kelestarian hijau berteraskan komuniti di daerah Kulai. Di sampingn itu, program ini selaras dengan Teras Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan aspirasi pembangunan komuniti lestari sebagaimana digariskan dalam dasar kelestarian negara.
Majlis bersejarah ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Mohd Hafiz bin Aliman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), yang hadir sebagai wakil rasmi kepimpinan kerajaan tempatan dalam menyokong inisiatif hijau serta pembangunan komuniti mampan.
Dalam ucapan perasmian beliau, Tuan Mohd Hafiz menzahirkan penghargaan kepada penduduk Pangsapuri Rakyat Jalan Cengal serta Kolej Komuniti Kota Tinggi dan semua pihak yang terlibat atas komitmen serta semangat gotong-royong dalam merealisasikan projek Eco-House @Bukit Permai ini. Menurut beliau, inisiatif yang diterajui dengan sokongan Kolej Komuniti Kota Tinggi ini bukan sekadar berfungsi sebagai pusat pengumpulan bahan kitar semula, malah berperanan sebagai hab pendidikan kelestarian hijau yang mampu membentuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek ini telah dilaksanakan di bawah Program Sejati MADANI dengan peruntukan sekitar RM47,000, dan sejak siap sepenuhnya, Eco-House ini telah berjaya mengumpulkan lebih 1,300-kilogram bahan kitar semula dalam tempoh enam bulan, sekali gus membuktikan keberkesanan model penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal secara mampan.
Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai aktiviti komuniti telah diadakan bagi menyemarakkan kesedaran alam sekitar, antaranya Pertandingan Mewarna “Cinta Bumi Kita”, aktiviti Kreatif DIY daripada bahan terpakai, Kuiz “Pusing-Pusing, Bumi Bersih”, Ceramah 3R oleh SWCorp, sesi temu duga peluang kerjaya, serta perkhidmatan gunting rambut lelaki dan perempuan secara percuma oleh Celestica Electronics (M) Sdn. Bhd. Turut diadakan ialah sesi Story Telling bersama Abang Din yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, khususnya kanak-kanak.
Mewakili komuniti setempat, Penasihat Projek Eco-House @Bukit Permai, Yang Berusaha Puan Hajah Nurul Nadia binti Ab Azis, menyatakan harapan agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dijadikan contoh terbaik untuk diperluaskan ke kawasan perumahan lain di daerah Kulai, seterusnya menyokong agenda Kulai Lestari yang berdaya tahan dan inklusif.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan sesi penyerahan papan tanda Eco-House, penanaman pokok sebagai simbolik kelestarian, serta penyampaian Sumbangan Awal Persekolahan Sesi 2026/2027 dan Kurniaan DYAM Pemangku Sultan Johor kepada anak-anak yatim Daerah Kulai, mencerminkan pendekatan inklusif serta impak sosial yang tinggi dalam pelaksanaan program komuniti.
Dengan kejayaan penganjuran Majlis Perasmian Eco-House @Bukit Permai ini, inisiatif berkenaan diyakini mampu menjadi pemangkin perubahan gaya hidup hijau dalam kalangan komuniti setempat serta memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat ke arah pembangunan mampan yang berterusan.


