Kolej Komuniti Bagan Serai edar 1,000 bubur lambuk kepada komuniti Bukit Merah

KOLEJ KOMUNITI BAGAN SERAI
11 March 2026
Komuniti

Kerian, 5 Mac 2026 – Semangat kebersamaan dan nilai keprihatinan dalam kalangan masyarakat terus disemarakkan apabila Kolej Komuniti Bagan Serai menganjurkan Program Ihya’ Ramadan Infak Rasa Bubur Lambuk dengan kerjasama pelbagai agensi komuniti di sekitar Bukit Merah.

Program yang berlangsung ini merupakan inisiatif Kolej Komuniti Bagan Serai dengan kerjasama Pusat Khidmat Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Semanggol, Pejabat Penghulu Mukim Beriah serta PUSPANITA Kolej Komuniti Bagan Serai bagi mengimarahkan bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat.

Sebagai persiapan program, aktiviti gotong-royong penyediaan bahan bubur lambuk telah diadakan di CTC Bukit Merah yang melibatkan penyertaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Merah bersama staf dan pelajar Kolej Komuniti Bagan Serai.

Sebanyak tiga periuk besar bubur lambuk telah dimasak secara bergotong-royong dengan penghasilan kira-kira 1,000 bekas bubur lambuk untuk diedarkan kepada komuniti Kampung Bukit Merah, penduduk Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah, agensi-agensi sekitar daerah Kerian serta staf dan pelajar Kolej Komuniti Bagan Serai.

Majlis penyerahan dan edaran bubur lambuk telah disempurnakan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Semanggol, YBhg. Dato’ Haji Sham bin Mat Sahat.

Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini mencerminkan peranan aktif institusi TVET seperti Kolej Komuniti dalam menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Institusi TVET seperti Kolej Komuniti bukan sahaja berperanan melahirkan tenaga kerja mahir, malah turut menjadi rakan strategik kepada komuniti melalui pelbagai program kemasyarakatan. Usaha seperti Program Ihya’ Ramadan Infak Rasa Bubur Lambuk ini jelas menunjukkan komitmen Kolej Komuniti Bagan Serai dalam menyantuni masyarakat serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar dan komuniti,” katanya.

Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat di samping menyemai nilai kesukarelawanan serta budaya berkongsi rezeki khususnya dalam bulan Ramadan.

Penganjuran program ini turut memperlihatkan komitmen Kolej Komuniti Bagan Serai dalam menyokong agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan kemahiran pelajar, malah turut menitikberatkan penglibatan sosial serta hubungan erat dengan komuniti setempat.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti