
MUKAH, 12 Mac 2026 — Seorang pelajar Politeknik Mukah (PMU) melakar pencapaian membanggakan apabila dilantik sebagai Ejen Perpaduan Kementerian Perpaduan Negara bagi sesi 2025 hingga 2027 di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
Syauqi Imani Ibrahim, yang merupakan pelajar dari Jabatan Perdagangan PMU, menerima pelantikan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan penglibatan aktif beliau dalam aktiviti kesukarelawanan serta program pembangunan belia.
Bagi Syauqi, pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar dan platform terbaik untuk beliau menyumbang bakti dalam memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan komuniti, khususnya generasi muda.
“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan. Bagi saya, perpaduan bukan sekadar konsep, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan seperti aktiviti sukarelawan, aktiviti komuniti dan interaksi antara masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya.
Beliau turut berharap penglibatannya sebagai Ejen Perpaduan dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan pelajar lain untuk turut aktif menyumbang kepada masyarakat.
“Saya ingin melihat lebih ramai pelajar tampil sebagai ikon inspirasi. Jika kita bergerak bersama, kita mampu mewujudkan persekitaran kampus dan komuniti yang lebih harmoni,” tambahnya.
Sementara itu, Pegawai YSS PMU, Ts. Muhammad Sallehuddin Ismail berkata, pelantikan tersebut membuktikan bahawa pelajar institusi TVET terutama PMU, mampu tampil sebagai pemimpin belia yang berwibawa dan berpengaruh.
“Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat PMU. Ia menunjukkan bahawa institusi ini bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah turut membentuk pelajar yang mempunyai nilai kepimpinan, jati diri dan semangat kesukarelawanan,” katanya.
Menurut beliau, program sebegini menjadi platform terbaik bagi golongan belia terutama sekali pelajar untuk memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Kejayaan Syauqi sekali gus mencerminkan komitmen PMU dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kemahiran, malah berupaya memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara. – PMU

