Keratan Akhbar: PMU tawar pelbagai program selaras keperluan industri

POLITEKNIK MUKAH
02 April 2026
Suara Sarawak

MUKAH: Politeknik Mukah (PMU) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi pameran kemasukan terus ke lima buah sekolah menengah di sekitar Mukah dan Bintulu sempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, semalam.

Antara sekolah yang dikunjungi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, SMK Oya, SMK Mukah, SMK Saint Patrick dan SMK Kemena, Bintulu.

Menurut kenyataan PMU, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“Melalui pameran ini, pegawai PMU telah berkongsi maklumat mengenai program pengajian, syarat kemasukan dan laluan kerjaya yang tersedia.

“Dengan adanya sesi pameran ini, ia sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk membuat keputusan yang tepat selepas menerima keputusan SPM,” katanya.

Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan PMU dalam memastikan pelajar cemerlang tidak ketinggalan peluang untuk meneruskan pengajian dalam bidang TVET, khususnya dalam kalangan pelajar di kawasan luar bandar Sarawak.

Sehubungan itu, PMU menawarkan pelbagai program akademik dan sijil akademik yang selaras dengan keperluan industri semasa, merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perdagangan dan sains kesetiausahaan.

“Dengan yuran pengajian yang berpatutan, peluang pekerjaan yang luas merentas pelbagai sektor serta persekitaran pembelajaran berasaskan kemahiran praktikal, PMU terus membuktikan bahawa institusi ini merupakan destinasi TVET pilihan di Sarawak.

“Melalui inisiatif seperti ini, PMU bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar baharu, malah memainkan peranan penting dalam memperkasakan agenda TVET Malaysia.

“Pada masa sama, ia juga berpotensi melahirkan generasi mahir yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini,” tambah kenyataan itu.

Seorang pelajar SMK Saint Patrick yang berjaya meraih 8A dalam SPM 2025, Akmal Faiz Sapuan, menyatakan minatnya dalam bidang teknologi maklumat dan ingin melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut yang ditawarkan di PMU.

“Saya sangat bersyukur dengan keputusan ini dan selepas mendapat tahu mengenai program di PMU melalui pameran yang disediakan, saya yakin ini pilihan yang tepat untuk masa depan,” ujarnya.

Bagi ibu Akmal, Napsiah Zakaria, selepas mendapat tahu PMU menawarkan bidang yang diminatinya, beliau amat lega.

“Saya yakin keputusan Akmal untuk melanjutkan pengajian di PMU adalah langkah yang bijak kerana paling penting, dia dapat belajar di tempat yang selesa, yuran berpatutan dan masa depan cerah,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMK Matu, Nurul Alliah Ezati Isyrend Ismail, yang turut meraih 8A, menyatakan keterujaannya sebaik mengetahui mengenai program yang ditawarkan oleh PMU melalui pameran tersebut.

“Selepas mengetahui mengenai program dan peluang kerjaya selepas tamat pengajian di PMU, saya yakin PMU merupakan pilihan tepat untuk melanjutkan pengajian,” tambahnya.

Sumber : Suara Sarawak, 1 April 2026
Sumber gambar : Politeknik Mukah (PMU)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti