
MUKAH, 20 April 2026 — Usaha Politeknik Mukah (PMU) dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Program Civil Engineering Care (CEC) di Madrasah Al-Quran Mukah (MAQUM), Kampung Judan Ulu baru-baru ini.
Program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini menyaksikan penglibatan aktif sukarelawan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam PMU yang menjalankan kerja pemasangan serta baik pulih sistem hidroponik sedia ada di kawasan madrasah. Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan kaedah pertanian moden yang lebih efisien dan lestari, sekali gus menyokong usaha komuniti dalam mengamalkan gaya hidup hijau.
Selain kerja teknikal, para pelajar PMU turut berkongsi pengetahuan berkaitan pengoperasian dan penyelenggaraan sistem hidroponik kepada warga MAQUM. Pendekatan pembelajaran secara praktikal ini memberi peluang kepada pelajar madrasah untuk memahami konsep asas hidroponik serta kepentingannya dalam pengeluaran makanan secara mampan.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam PMU, Canarisa Nipi Ah Lian berkata, program seumpama ini mampu memberi impak dua hala yang signifikan.
“Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemudahan di madrasah, malah menjadi platform kepada pelajar kami untuk mengaplikasikan kemahiran teknikal serta memupuk nilai kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial,” jelas beliau.
Seorang pelajar PMU yang terlibat menyatakan bahawa pengalaman tersebut membuka ruang pembelajaran yang lebih luas.
“Kami dapat turun padang dan melihat sendiri bagaimana ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan oleh komuniti. Ia sangat memberi kepuasan kepada kami dalam mengaplikasikan ilmu tersebut,” katanya.
Sementara itu, pelajar MAQUM turut melahirkan rasa teruja dengan pendedahan yang diterima.
“Saya kini lebih faham tentang sistem hidroponik dan cara menjaganya. Ilmu ini sangat berguna untuk masa depan,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, program ini berlangsung dengan lancar hasil kerjasama erat antara PMU dan MAQUM. Inisiatif ini jelas membuktikan bahawa sinergi antara institusi pendidikan dan komuniti setempat mampu menyumbang kepada pembangunan pertanian lestari serta kesejahteraan masyarakat secara penyeluruh. — PMU

