
Besut : Sebanyak 170 kilogram sampah berjaya dikumpul dalam tempoh 30 minit di sepanjang muara Pantai Bukit Keluang, di sini, semalam, menerusi program International Coastal Cleanup (ICC):Sentuhan Komuniti, Santuni Alam 5.0.
Pengarah Kolej Komuniti Besut, Nik Mohd Kamil Ibrahim @ Nik Hanafi, berkata, seramai 150 peserta menyertai program anjuran Kolej Komuniti Besut melalui Unit Pengajian Am dengan kerjasama Geng Plastik IJA (GPI), Politeknik Besut, Universitas Muhammadiyah Makassar, Indonesia serta Sekolah Menengah Islam Darul Iman Besut.
“Peserta mengutip sebanyak 170 kilogram sisa pepejal dalam tempoh hanya 30 minit, melebihi sasaran awal satu kilogram bagi setiap peserta.
“Aktiviti plogging (gabungan berjoging sambil mengutip sampah) berkesan membersihkan kawasan pantai dan juga memperkenalkan budaya pembersihan pantai ini kepada rakan antarabangsa, khususnya dari Indonesia,” katanya.
Katanya, kejayaan program ini membuktikan komitmen tinggi peserta terhadap usaha kelestarian alam.
“Pendekatan ini dilihat memberi impak positif dalam menyebarkan kesedaran alam sekitar merentas sempadan serta menggalakkan amalan gaya hidup lestari dalam kalangan komuniti global.
“Pencapaian ini menunjukkan kesedaran dan kesungguhan peserta dalam menjaga kebersihan pantai, sekali gus mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan komuniti,” katanya.
Seorang peserta, penuntut Diploma in 3D Animation Technology Kolej Komuniti Besut, Azim Asyraf Azidi berkata, program ini sebagai satu pengalaman yang memberi kesedaran baharu.
“Walaupun dalam tempoh singkat, kami berjaya mengutip jumlah sampah yang banyak.
“Ini membuka mata kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, pensyarah kursus Khidmat Komuniti, Nurfaezah Mamat, berkata program berkenaan menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman serta pembabitan langsung dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Aktiviti seperti ini diharap dapat diteruskan bagi memperluas impak positif ke peringkat antarabangsa serta memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” katanya.