NacON 2026 Pacu Transformasi TVET, Sedia Belia Hadapi Cabaran Masa Depan

KOLEJ KOMUNITI SUNGAI PETANI
23 April 2026
Penyelidikan dan Inovasi

SUNGAI PETANI, 21 April 2026 – Landskap pekerjaan dan pendidikan yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet of Things (IoT) dan teknologi hijau menuntut satu anjakan paradigma baharu dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), sejajar dengan keperluan masa hadapan negara.

Perkara itu ditekankan dalam Majlis Perasmian Penutupan National Conference on TVET Horizons: Navigating the Future of TVET Education (NaCoN) 2026 yang berlangsung di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, telah disempurnakan oleh Ybrs. Dr. Shahiza binti Ahmad Zainuddin, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti menandakan kejayaan penganjuran persidangan ilmiah berimpak tinggi dalam memperkasa ekosistem TVET negara.

Menurut intipati ucapan, dunia pekerjaan dijangka mengalami perubahan ketara dalam tempoh satu dekad akan datang, dengan sebahagian besar pekerjaan sedia ada berubah bentuk dan digantikan dengan keperluan kemahiran yang lebih kompleks, dinamik dan berorientasikan masa hadapan. Justeru, hala tuju TVET tidak lagi boleh bergerak secara konvensional, sebaliknya perlu disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan kehendak industri semasa .

Seiring dengan itu, pelaksanaan 13 Iltizam Aspirasi 2026 yang digariskan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dilihat sebagai kompas penting dalam memacu reformasi TVET secara menyeluruh, meliputi aspek pendigitalan pendidikan, pengukuhan kerjasama industri, pemerkasaan penyelidikan dan inovasi serta pembangunan bakat yang berdaya saing di peringkat global.

Tema persidangan, “Navigating the Future of TVET Education”, membawa mesej jelas tentang keperluan melakukan anjakan paradigma secara berani, termasuk peralihan daripada melahirkan pencari kerja kepada pencipta pekerjaan, daripada pengguna teknologi kepada peneraju inovasi, serta pembinaan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang lebih anjal, inklusif dan responsif.

Penganjuran NaCoN 2026 turut memberi impak signifikan kepada belia dan pelajar TVET dengan menyediakan platform untuk memperkukuh budaya penyelidikan gunaan, inovasi serta pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar. Melalui pembentangan kertas penyelidikan dan perkongsian kepakaran, peserta didedahkan kepada isu sebenar industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan serta kemahiran insaniah, kepimpinan dan keusahawanan.

Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik, majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kertas Penyelidikan Terbaik dan Anugerah Pembentang Terbaik, sekali gus mencerminkan komitmen persidangan dalam mengangkat kualiti penyelidikan dan inovasi TVET ke tahap yang lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, NaCoN 2026 bukan sekadar sebuah persidangan akademik, malah berperanan sebagai wadah strategik dalam menyatukan idea, kepakaran dan pengalaman pelbagai pihak untuk memperkukuh ekosistem TVET yang progresif, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi menjadikan TVET sebagai pemacu utama kemajuan negara dan masa depan belia Malaysia

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti