KKHS & DBKL angkat Tat Bengkulu ke pentas digital melalui Mini Showcase Idct 2.0 @ Kl Jazz in The Park

NORHAFIZAH BINTI ABD. HAZIS
07 June 2026
Komuniti

RAWANG – Produk warisan tempatan, Tat Bengkulu dari Kampung Sungai Choh, kini melangkah ke peringkat lebih tinggi apabila berjaya diperkasa melalui Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 yang melibatkan kerjasama Kolej Komuniti Hulu Selangor (KKHS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa rakan strategik lain.

Program Mini Showcase IDCT 2.0 yang berlangsung pada 18 April 2026 bersempena KL Jazz in the Park anjuran DBKL telah berjaya menarik perhatian lebih 6,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa, sekali gus membuka ruang promosi baharu kepada produk warisan tersebut.

Menurut pelaksanaan program, KKHS bersama komuniti Kampung Sungai Choh telah memainkan peranan penting dalam membangunkan aspek keusahawanan digital termasuk penyediaan bahan promosi, pengurusan booth pameran, reka bentuk poster dan brosur, serta pembangunan identiti jenama produk berasaskan warisan.

Program ini turut melibatkan latihan intensif kepada usahawan komuniti, termasuk pendedahan kepada pemasaran digital, fotografi produk, penciptaan kandungan media sosial serta penggunaan platform seperti Instagram, Facebook dan WhatsApp Business bagi tujuan pengurusan jualan.

Lebih membanggakan, hasil intervensi digital tersebut telah menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi jualan apabila jumlah keseluruhan jualan Tat Bengkulu meningkat sebanyak 226.7 peratus dalam tempoh pelaksanaan program dari Januari hingga April 2026, berbanding tempoh sebelum program.

Puncak jualan direkodkan pada Mac 2026 dengan jumlah RM9,005, manakala Mini Showcase pada 18 April pula berjaya menjana RM3,000 dalam tempoh satu hari sahaja.

Selain impak ekonomi, program ini turut memberi kesan sosial yang besar apabila usahawan, Kak Rosmah, kini memiliki keyakinan baharu dalam memasarkan produk warisan keluarganya secara lebih profesional dan meluas.

“Sebelum ini saya hanya jual dalam kampung sahaja. Tetapi selepas belajar pemasaran digital dan ada pembungkusan baharu, ramai mula bertanya dari luar kawasan. Saya lebih yakin sekarang,” katanya.

Program ini juga melibatkan pelajar KKHS sebagai pelaksana utama yang bertindak mengurus keseluruhan aspek projek termasuk latihan komuniti, pembangunan kandungan digital, strategi pemasaran serta pengurusan acara.

Menurut penganjur, pendekatan berasaskan kolaborasi antara pelajar, komuniti dan agensi ini membuktikan bahawa pendidikan vokasional mampu memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi setempat.

Secara keseluruhan, IDCT 2.0 bukan sahaja memperkukuh keusahawanan komuniti, malah turut mengangkat produk warisan tempatan sebagai aset ekonomi digital yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan di peringkat lebih luas.

Program ini turut menyokong agenda pembangunan lestari termasuk SDG 8 (pertumbuhan ekonomi), SDG 9 (inovasi) dan SDG 11 (komuniti mampan) melalui pendekatan pendidikan, teknologi dan keusahawanan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti