
IPOH,13 Jun 2026- Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Rejimen Askar Wataniah telah menganjurkan Program Jiwa Murni MALPTAAC 17/2026 (Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp) pada hari ini sebagai manifestasi komnitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, pasukan keselamatan dan komuniti setempat.
Bertemakan slogan “Bersama Kita Bersih, Bersama Kita Harmoni”, program berimpak tinggi ini menghimpunkan penyertaan seramai 1,000 orang penuntut dan pegawai daripada 19buah politeknik seluruh Malaysia yang terlibat dalam pasukan Rejimen Askar Wataniah di bawah naungan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di 11 lokasi terpilih sekitar Gugusan Manjoi,Bandar Baru Bercham dan Bandar Ipoh. Antara aktiviti utama yang akan dilaksanakan ialah kerja-kerja pembersihan kawasan dalam dan luar masjid serta surau, di samping aktiviti mengecat bagi menceriakan dan memperindahkan fasiliti rumah ibadat yang terlibat.
Majlis ini akan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Ungku Omar, En. Norman bin Zamri serta Penghulu Besar,Dr. Mohd Sani bin Kamaruddin.
Secara keseluruhannya,program ini melibatkan ratusan peserta daripada pelbagai Rejimen Askar Wataniah Politeknik Malaysia termasuk REJ 501 AW, REJ 502 AW, REJ 503 AW,REJ 505 AW, REJ 506 AW, REJ 510 AW, REJ 513 AW dan REJ 514 AW. Para peserta akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.
Antara lokasi yang terlibat ialah Masjid Gufran Kampung Manjoi, Surau Al-Husseiniah,Surau Al-Hasaniah,Masjid As-Saadah,Masjid Jamek KDAS 3, Surau Al-Ihsaniah, Surau Ahmadiah,Masjid Al-Ittihadiah,Surau Al-Muttaqin, Masjid Sultan Azlan Shah dan Politeknik Ungku Omar.
Program Jiwa Murni ini merupakan antara pengisian utama sempena MALPTAAC Ke-25 (Jubli Perak) dan ia bukan sahaja menjadi platform khidmat bakti kepada masyarakat,malah turut menyemai nilai kepimpinan, disiplin, semangat kesukarelawanan serta perpaduan dalam kalangan peserta.
