Teknologi Konvergen: Pemangkin paradigma baharu TVET masa depan

POLITEKNIK UNGKU OMAR
24 June 2026
RENCANA

Dinamika landskap industri global pada era pascamoden ini tidak lagi berpaksikan kepada pengkhususan prasarana secara mekanistik semata-mata. Kita sedang menyaksikan satu fasa transisi yang kritikal melalui ledakan teknologi konvergen, iaitu satu titik pertemuan dan penyatuan antara pelbagai disiplin teknologi termaju seperti Kecerdasan Buatan, robotik, Internet Kebendaan, dan sains data. Penggabungan ini melahirkan satu ekosistem pintar yang meruntuhkan sempadan fizikal dan digital secara total, sekali gus mengubah landskap operasi industri moden.

Dalam mendepani era pascanormal yang dicirikan oleh gangguan dan kerumitan ini, agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET negara sewajarnya tidak lagi bergerak secara silo atau terperangkap dalam acuan konvensional. Menyedari hakikat ini, Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dilihat telah menetapkan satu trajektori baharu. Langkah strategik ini diperkukuh menerusi kerangka TVET MADANI, yang meletakkan tonggak Daya Cipta sebagai pemacu utama transformasi guna tenaga negara melalui elemen pembaharuan yang berimpak tinggi dan selari dengan keperluan rantaian industri semasa.

Memanusiakan Teknologi: Paksi Etika dan Kompas Donut Ekonomi

Naratif evolusi TVET masa depan wajar bermula dengan asas yang paling fundamental, iaitu Kemanusiaan dan Pengelolaan Beretika. Sering kali, wacana mengenai integrasi teknologi tinggi mencetuskan kegusaran tentang sebuah dunia yang kaku, mekanikal, dan mengetepikan peranan insan. Namun, falsafah TVET MADANI menawarkan perspektif berbeza dengan meletakkan komitmen untuk mengutamakan maruah manusia, belas ihsan, dan tanggungjawab sosial, yang kini turut menjadi tunggak utama dalam amalan tadbir urus industri korporat yang mampan.

Atas dasar tanggungjawab ini, pembugaran agenda TVET masa depan dilihat sangat ideal sekiranya diimbangi dengan model Donut Ekonomi. Kerangka ini boleh bertindak sebagai neraca timbangan yang kritikal dalam memandu kemajuan negara. Melalui model ini, kita bukan sahaja mahu memastikan tiada rakyat yang melarat atau tercicir daripada hak asas, seperti mendapat pendidikan berkualiti dan keluar daripada kepompong kemiskinan, malah dalam masa yang sama, aktiviti industri tidak seharusnya rakus sehingga merosakkan sistem sokongan bumi, termasuklah mencetuskan krisis perubahan iklim yang ekstrem. Ringkasnya, ia adalah formula pembangunan seimbang yang bertujuan memakmurkan manusia tanpa menzalimi alam.

Melalui kanta Donut Ekonomi ini, teknologi konvergen ditekankan bukan untuk menggantikan peranan manusia melalui automasi total, melainkan untuk memperkasakan keupayaan manusiawi di sektor industri. Langkah ini berupaya melahirkan teknokrat yang bukan sahaja mahir mengendalikan algoritma pintar, tetapi mempunyai kompas moral untuk memastikan had siling ekologi bumi sentiasa dipelihara dalam setiap rantaian operasi kilang dan pengeluaran komersial.

Kepakaran Negara Pintar: Menterjemah Konvergen Kepada Solusi Makro

Apabila pasak etika telah diperkukuh, rupa wangsa TVET masa depan dibentuk semula menerusi keupayaan menguasai kepakaran Negara Pintar. Kita sedang melihat fasa transisi di mana latihan kemahiran tidak lagi berorientasikan output tradisional yang linear, sebaliknya berpaksikan kepada kecekapan mengurus ekosistem digital yang saling berhubung untuk menyelesaikan isu kemampanan secara holistik di peringkat pembuatan dan rantaian bekalan.

Teknologi konvergen membolehkan pelatih TVET masa depan beralih daripada kaedah latihan konvensional kepada penguasaan sistem kognitif digital yang berupaya meramal dan mengoptimumkan prestasi mesin. Keupayaan ini menterjemahkan automasi, penderia pintar, dan simulasi digital bukan lagi sekadar alat untuk mengejar produktiviti semata-mata, tetapi sebagai instrumen strategik untuk mengunjurkan kecekapan industri sebelum sesuatu proses fizikal bermula.

Implikasinya, sistem TVET kita berupaya melahirkan pekerja pintar yang mampu memadankan tuntutan pasaran ekonomi teknologi tinggi dengan matlamat perlindungan ekosistem luaran secara masa nyata. Transformasi kurikulum yang dinamik dan fleksibel inilah yang dijangka menjadi nadi utama kepada pembentukan modal insan berwawasan makro yang mampu memacu ekosistem industri yang lebih hijau dan produktif.

Pengantarabangsaan dan RDICE: Membina Sinergi Serantau dan Kolaborasi Industri

Bagi memastikan kebolehsaingan di peringkat antarabangsa, rancangan strategik negara turut menggariskan kepentingan Pengantarabangsaan TVET dan agenda Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Bertanggungjawab atau RDICE. Di bawah pendekatan ini, TVET Malaysia mempunyai potensi besar untuk tidak lagi sekadar menjadi pengikut teknologi luar, sebaliknya bangkit sebagai pusat kecemerlangan dan rujukan rantaian teknologi di peringkat global melalui jalinan kerjasama erat dengan industri pasaran terkemuka.

Langkah ini boleh dilaksanakan secara proaktif melalui pengukuhan jenama TVET negara menerusi kolaborasi strategik rentas sempadan yang disokong oleh pemain industri multinasional. Program pemindahan teknologi bersama negara jiran, seperti sinergi TVET serantau di Asia Tenggara, menjadi platform penting untuk menterjemahkan ketersediaan kepakaran kita ke pentas dunia. Melalui model mobiliti dan perkongsian ilmu yang dipandu industri, pelatih tempatan bertindak sebagai mentor global, manakala para pendidik diangkat sebagai Pakar Rujuk atau Subject Matter Expert (SME) dalam memacu rujukan teknologi Kecerdasan Buatan dan sains data.

Sinergi antarabangsa ini wajar diseragamkan pula dengan minda keusahawanan termaju. Penggabungan ini memastikan ekosistem TVET bukan sahaja mampu menterjemahkan pulangan pelaburan komersial yang tinggi dari segi Return on Investment (ROI) syarikat, malah menjamin nilai ganjaran pembangunan modal insan yang mampan melalui impak Return on Value (ROV). Hasilnya, graduan kita bukan sahaja bertindak sebagai pencari kerja yang siap siaga industri, tetapi sebagai usahawan inovasi yang mampu membina kolaborasi berimpak tinggi bersama rakan industri dan mengeksport solusi teknologi tempatan ke pasaran global.

Kesimpulan: Anjakan Paradigma Minda Kalis Masa Hadapan

Konstruksi sebuah negara maju yang mampan tidak sekadar bersandarkan kepada kemakmuran material, tetapi diukur melalui kesediaan minda kolektif masyarakatnya untuk menerima perubahan global. Kesedaran mengenai kepentingan teknologi konvergen dalam struktur TVET MADANI sewajarnya terus diarusperdanakan menerusi gandingan tripartite yang utuh antara kerajaan, institusi pendidikan, dan sektor industri.

Apabila kejituan sains digital disinergikan secara harmoni bersama kelestarian alam dalam ruang selamat Donut Ekonomi, TVET mempunyai masa depan yang cerah untuk tidak lagi dipandang sebagai laluan pilihan kedua. Ia berupaya menjadi wadah utama, sebuah pemacu transformatif yang akan memastikan Malaysia kekal unggul sebagai hab bakat kalis masa hadapan yang makmur, inklusif, dan disegani di persada industri global.

Dr. Muhammad Ridzuan bin Idris,
Pensyarah merangkap Ketua
Centre for Technology Convergence and Humanities (C-TeCH),
Politeknik Ungku Omar

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti