
ALOR SETAR, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Dua pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mengharumkan nama institusi apabila masing-masing meraih pingat gangsa pada Open Pencak Silat Wiralaga International Championship 2026 yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim dari 1 hingga 5 Oktober lalu.
Dhia Qurratu Ain Mazran, 18, dan Nur Diana Karmila Mohd Danial, 18, berjaya menampilkan prestasi membanggakan dalam kejohanan yang turut disertai pasukan utama tempatan serta pesilat dari Australia dan Indonesia.
Pengarah POLIMAS Wan Zulkifly Wan Zakaria berkata pencapaian itu membuktikan pelajar institusi berkenaan bukan sahaja mampu menyerlah dalam bidang akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), malah turut berupaya bersaing dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa.
“Pihak pengurusan tertinggi POLIMAS amat bangga dengan pencapaian Dhia Qurratu Ain dan Nur Diana Karmila.
“Kejayaan merangkul dua pingat gangsa di pentas Open Pencak Silat Wiralaga International Championship 2026 yang turut disertai oleh pesilat antarabangsa ini membuktikan bahawa pelajar POLIMAS bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan TVET, malah mampu berdiri sama tinggi dengan jaguh sukan lain di peringkat global,” katanya.
Kejohanan itu turut menyaksikan penyertaan pasukan utama tempatan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) Fighter dan Bunga Silat selain kontinjen dari seluruh Malaysia serta peserta antarabangsa.
Di sebalik kejayaan itu, kedua-dua pesilat mendapat bimbingan pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) POLIMAS selaku Pegawai Pengiring merangkap Jurulatih Buah Teras Akmar Alias bersama Jurulatih Silat Olahraga POLIMAS Nor Hisyam Hassan.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa pelajar TVET mampu menyerlah dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi pemangkin kepada warga POLIMAS untuk terus mengembangkan bakat dan mencapai kejayaan lebih tinggi pada masa hadapan.
sumber : https://malaysiaaktif.my/2026/10/dua-pesilat-polimas-raih-gangsa-di-kejohanan-antarabangsa/