Usahawan jahitan sambung POLYCC bukti nyata pembelajaran sepanjang hayat

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
25 November 2026
Umum

KULIM, 25 November 2026 – Kelebihan sistem pendidikan politeknik yang menggabungkan pembelajaran teori dan kemahiran amali terus menjadi tarikan, bukan sahaja kepada lepasan sekolah malah golongan dewasa serta usahawan yang ingin memperkukuh potensi diri.

Hal ini dibuktikan oleh usahawan bidang jahitan, Rozita Mohd Khaldi, 48, mendaftar sebagai antara 247 pelajar baharu Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bagi kemasukan sesi II 2026/2027 menerusi program Diploma Pemasaran.

Bukan calang-calang individu, ibu kepada dua orang anak ini sebenarnya sudah memiliki tauliah sebagai guru jahitan serta pengiktirafan Pakar Mengajar daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), selain aktif mengendalikan kelas jahitan bagi membantu golongan wanita menjana pendapatan.

Mengulas pemilihannya terhadap PTSB, Rozita menyifatkan pendekatan pembelajaran di politeknik yang berorientasikan praktikal dan selari dengan keperluan industri semasa amat bersesuaian dengan matlamatnya sebagai seorang usahawan.

“Saya percaya politeknik merupakan platform yang baik untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan potensi diri, bukan sahaja untuk golongan muda tetapi juga golongan dewasa yang ingin terus belajar dan berkembang.

“Melalui ilmu pemasaran yang dipelajari di sini, saya mahu membina jenama, memperkukuhkan identiti perniagaan dan mengembangkan lagi bidang pendidikan jahitan yang saya ceburi. Saya mahu melihat perniagaan bukan sekadar sumber pendapatan tetapi satu jenama yang mempunyai nilai dan hala tuju tersendiri,” katanya.

Tambah beliau, lokasi PTSB yang berhampiran dengan kediamannya turut menjadi faktor utama yang membolehkannya mengimbangi tanggungjawab keluarga termasuk menguruskan anak-anak serta menjaga ibunya yang sedang menjalani rawatan kanser dengan komitmen pengajian.

Meskipun mengakui bakal berdepan cabaran dari segi pengurusan masa, aspek kesihatan dan keperluan menyesuaikan diri dengan teknologi pembelajaran terkini bersama rakan sekuliah yang sebaya anak-anaknya, Rozita memilih untuk mengambil pendekatan realistik dengan memberi tumpuan kepada satu semester pada satu masa.

Beliau yang pernah menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian pada usia 24 tahun berharap langkahnya ini dapat membuka mata masyarakat, khususnya golongan wanita agar tidak ragu-ragu memanfaatkan peluang pendidikan tinggi.

“Tidak perlu menunggu sehingga semuanya sempurna untuk bermula. Mulakan dengan apa yang kita mampu, tetapkan matlamat yang realistik dan berikan peluang kepada diri sendiri. Kita tidak pernah terlalu tua untuk belajar dan tidak pernah terlambat untuk menjadi versi diri kita yang lebih baik,” ujarnya.

Kehadiran pelajar dewasa seperti Rozita di PTSB sekali gus mencerminkan keterbukaan dan fleksibiliti Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dalam menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat serta melahirkan modal insan berdaya saing tanpa mengira batasan usia.

Rozita Mohd Khaldi, 48 (kanan) mendaftar Program Diploma Pemasaran manakala Nor Nabilah Mohd Nazari, 26 (kiri) mendaftar Program Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim
Rozita (berbaju merah jambu) dan Nor Nabilah (kanan) mesra ketika disantuni Hajah Norlili Juwita Arshad, Pengarah PTSB (kiri) selepas Majlis Penutupan Minggu Transformasi Siswa PTSB Sesi II 2026/2027, hari ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti