Liputan berita: Berhenti sekolah pada usia 16 tahun, usahawan jahitan kini sambung diploma di PTSB

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
26 November 2026
KERATAN AKHBAR, SUARA TV

KULIM – Usia bukannya penghalang buat seseorang menuntut ilmu, merupakan proses sepanjang hayat yang terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap kehidupan.

Sesungguhnya, Rozita Mohd Khaldi,48, telah membuktikan bahawa ilmu itu tidak pernah mengenal usia. Selagi ada kemahuan dan kesungguhan, peluang untuk belajar dan memperbaiki diri sentiasa ada.

Keputusan Rozita yang juga seorang usahawan jahitan untuk kembali duduk di bilik kuliah mencuri tumpuan apabila beliau menjadi antara 247 pelajar baharu yang mendaftar di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bagi kemasukan sesi II 2026/2027.

Meskipun sudah memiliki tauliah sebagai guru jahitan dan diiktiraf sebagai Pakar Mengajar daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Rozita memilih untuk merendah diri dan menyambung pengajian dalam bidang Diploma Pemasaran demi memperkukuh perniagaannya.

Bagi ibu kepada dua orang anak itu, langkah tersebut bukan sekadar mengejar segulung diploma, sebaliknya satu pembuktian bahawa perjalanan menuntut ilmu tidak pernah terhenti hanya kerana seseorang itu sudah dewasa atau memikul pelbagai tanggungjawab.

“Sejujurnya, saya berasa sedikit kekok dan malu pada mulanya apabila melihat hampir kesemua pelajar lain sebaya dengan anak-anak saya.

“Namun pada masa sama, saya sangat teruja dan bersyukur kerana akhirnya berpeluang merasai pengalaman menjadi seorang pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran pelajar baharu di PTSB, dekat sini pada Selasa.

Perjalanan pendidikan Rozita sememangnya bukan mudah apabila beliau pernah berhenti sekolah pada usia 16 tahun untuk bekerja, sebelum mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian ketika berusia 24 tahun.

Beliau juga pernah ditawarkan pengajian secara jarak jauh (e-PJJ) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2006, namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut atas faktor kehidupan dan komitmen keluarga.

Kini, selain menguruskan perniagaan serta kelas jahitan, Rozita turut memikul tanggungjawab menjaga ibunya yang sedang menjalani rawatan kanser serta menguruskan hal ehwal anak-anak.

Mengakui reaksi keluarga pada awalnya bercampur-baur kerana bimbang soal pembahagian masa dan kesihatan dirinya, beliau memilih untuk mengambil pendekatan realistik dengan memberi tumpuan kepada satu semester pada satu masa.

“Cabaran itu perlu dihadapi secara berperingkat, bukannya dijadikan alasan untuk tidak mencuba.

“Saya memilih PTSB kerana pendekatan pembelajarannya yang seimbang antara teori dan praktikal, selain lokasinya yang berhampiran rumah bagi memudahkan saya mengimbangi tanggungjawab keluarga dan pengajian,” jelasnya.

Melalui ilmu pemasaran yang bakal dipelajari, beliau berhasrat membina jenama perniagaan yang lebih kukuh serta mengembangkan lagi bidang pendidikan jahitan bagi membantu lebih ramai wanita berdikari.

Mengakhiri perbualan, Rozita menitipkan pesanan ringkas buat golongan wanita dan dewasa di luar sana agar tidak menunggu keadaan sempurna untuk mengejar impian.

“Kita tidak pernah terlalu tua untuk belajar dan tidak pernah terlambat untuk menjadi versi diri kita yang lebih baik,” ujarnya. – SUARA.TV

Sumber: https://suara.tv/26/11/2026/berhenti-sekolah-pada-usia-16-tahun-usahawan-jahitan-kini-sambung-diploma-di-ptsb/

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti