AA POLYCC 2023 hargai sumbangan dan jasa keilmuan warga pendidik politeknik dan kolej komuniti

UKK JPPKK
18 January 2024
Umum

24 OKTOBER 2023, Ayer Keroh – Bersempena dengan Sambutan Hari Akademia yang disambut pada setiap 5 Oktober dan Bulan Akademia sepanjang bulan Oktober pada setiap tahun, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan Anugerah Akademia Politeknik dan Kolej Komuniti (AA POLYCC) 2023 dan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), disini.  

‘Akademia Pemacu Malaysia MADANI’ yang dipilih sebagai tema pada sambutan Hari Akademia tahun ini adalah untuk membangkitkan semangat ahli akademia ke arah membangunkan masyarakat dan negara diselarikan dengan teras Negara MADANI.  Pencapaian yang dicipta dan diperoleh melalui pelbagai aspek iaitu kokurikulum, keusahawanan, kesukarelawan, penyelidikan, inovasi, pembelajaran dan pengajaran bukan sahaja mampu mengharumkan nama Politeknik dan Kolej Komuniti, malah kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan negara amnya.  Selain itu, penganjuran majlis ini juga merupakan inisiatif jabatan dalam memberikan motivasi kepada semua akademia khususnya di Politeknik dan Kolej Komuniti untuk terus berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh agar prestasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat terus dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

Sebanyak 11 anugerah disampaikan kepada para akademia melalui pelbagai kategori seperti Anugerah Ikon Sukarelawan, Anugerah Ikon Kokurikulum, Anugerah Mentor Keusahawanan, Anugerah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Anugerah Penyelidikan dan Inovasi, Anugerah Penerbitan, Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), Anugerah Ikon Kolaborasi, Anugerah Pensyarah Harapan, Anugerah Pensyarah Cemerlang serta Anugerah Tokoh Akademia TVET.

AA POLYCC 2023 yang memasuki tahun ke-2 penganjurannya menjadi lebih menarik apabila majlis ini telah mendapat kerjasama yang padu bukan sahaja dalam kalangan warga Politeknik dan Kolej Komuniti malah rakan-rakan strategik dalam kalangan industri besar di Malaysia yang turut sama-sama menyumbang kepada AA POLYCC 2023. Antara industri yang terlibat adalah seperti PKT Logistics Group Sdn Bhd, MAYBANK, Skopwang Property Venture, CyberSecurity Sdn Bhd, Trans Resources Corporation Sdn Bhd, Malaysian Association of Hotels, Holiday Villa Hotels and Resorts Sdn. Bhd dan lain-lain lagi.

JPPKK hari ini turut berbesar hati mengumumkan YBhg. Datuk Ts. Haji Mohlis bin Jaafar sebagai Tokoh Akademia TVET 2023. Beliau tentunya tidak asing lagi di dalam sistem pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti kerana anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini pernah menerajui jawatan utama sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) pada tahun 2013. Dilahirkan pada 4 Oktober 1956, beliau melanjutkan pelajaran dalam Diploma Teknologi (Teknologi Industri Percetakan) di Grantham College of Education, United Kingdom (UK) sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Polytechnic of Brighton, UK dan Sarjana Kejuruteraan Sistem Pembuatan di Warwick University, England.

Beliau memulakan kariernya sebagai pensyarah di Politeknik Ungku Omar (PUO) pada tahun 1980 sebelum menjawat pelbagai jawatan di jabatan dan institusi dengan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran yang dimiliki. YBhg. Datuk Ts. Haji Mohlis bin Jaafar telah membuat sumbangan penting kepada pendidikan Politeknik dalam sejarah kerjayanya yang menjangkau 36 tahun.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti