PSP Terap Nilai Ihsan Melalui Program Khidmat Masyarakat

POLITEKNIK SEBERANG PERAI
28 September 2023
Komuniti

4 Mac 2023  Bandar Baharu – Seramai 38 orang pelajar dan 40 pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Seberang Perai (PSP) telah bersama-sama berganding bahu dalam program khidmat masyarakat yang berlangsung di Kampung Sungai Rambai, dekat sini.

Aktviti khidmat masyarakat ini dianjurkan bersama Tuan Yusof Ahmad, Ketua Kampung Sungai Rambai. Terdapat beberapa aktiviti yang berlangsung antaranya kerja-kerja membaik pulih rumah pam, pembersihan kolam takungan, menukar sambungan paip utama dan penggantian penapis di kawasan takungan air serta menukar bumbung rumah pam yang telah rosak. 

Fokus utama aktiviti ini adalah untuk memastikan air sungai dapat disalurkan ke kampung tersebut dengan lancar bagi kegunaan harian penduduk setempat selain dari bekalan air daripada pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).

Pada program tersebut juga, warga PSP berkongsi ilmu kemahiran dan mempromosi program yang ditawarkan di PSP kepada penduduk di situ. Antara aktiviti kemahiran yang dikongsi adalah Demonstrasi 3D printer, teknik mewarna batik dan teknik urutan tradisional. Pasukan JKM juga turut mengadakan gotong-royong di surau kampung tersebut.

Menurut Sr. Harith Fadzilah Abd Khalid, Pengarah PSP, beliau berkata program sebegini kerap dijalankan di institusi berkenaan. 

“Selain memikul amanah dan tanggungjawab untuk melahirkan graduan TVET yang holistik, PSP turut komited dalam melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada komuniti. Tanggungjawab ini juga seiring dengan Rukun Ke-6 Malaysia MADANI yang merupakan konsep yang dibawa oleh kerajaan iaitu Ihsan. 

Ujar beliau lagi, program seumpama ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban mereka yang terlibat malah dapat mengeratkan lagi ukhwah antara PSP dan komuniti setempat.

Majlis Penutupan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, YB Dato’ Norsabrina binti Mohd Noor.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti