JPPKK sahut hasrat kerajaan perkasa pendigitalan melalui inisiatif TVET Digital

UKK JPPKK
12 August 2023
Umum

11 Ogos 2023, Behrang – TVET DIGITAL merupakan satu insiatif Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam memantapkan pendigitalan pendidikan dan ketersediaan warga dan institusi JPPKK kepada teknologi baharu selaras agenda mentransformasi POLYCC.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar, berkata Pelancaran Transformasi TVET DIGITAL POLYCC ini jelas membuktikan bahawa politeknik dan kolej komuniti telah menyahut hasrat kerajaan dalam memperkasa pendigitalan dan bersedia mengadaptasi teknologi baharu.

“Pelancaran inisiatif yang dibuat hari ini bertepatan dengan Amanat Tahun Baharu 2023 oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini yang menyatakan pelan pendigitalan KPT sedia ada akan dilonjakkan dengan memfokuskan kepada pendigitalan total dalam semua aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatannya,” ujar beliau ketika merasmikan Majlis Pelancaran TVET Digital POLYCC JPPKK di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), disini, pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Mohd Zahari Ismail berkata usaha pendigitalan ini bukan sahaja dijalankan secara dalaman di peringkat induk malah turut mendapat sokongan daripada rakan agensi seperti Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), AWS serta beberapa pemain industri yang lain.

Sistem Pembelajaran Digital POLYCC atau dikenali sebagai CIDOS 4.0 merupakan sistem pembelajaran yang menggunakan teknologi cloud computing sepenuhnya dengan peruntukan khas yang diterima dari pihak MAMPU, projek kolaborasi POLYCC bersama MAMPU ini merupakan projek rintis pertama yang dipilih kerajaan dalam program Governement Hybrid Cloud.

Usaha TVET DIGITAL ini diadakan bagi mempersiapkan graduan TVET POLYCC yang berkualiti dan bersedia mendepani teknologi baharu serta future proof talent iaitu: high skill, high tech, dan high art.

Dalam pada itu, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar turut melakukan lawatan ke ruang pembelajaran atau learning spaces Immersive XR (Immersive XR Space) serta melawat ke Autonomous Vehicle 4IR Flagships di politeknik tersebut.

Hadir sama pada majlis ini adalah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Barisan Pengurusan Tertinggi JPPKK, Pengarah PSAS, YBrs. Ts. Mohd Zulkefli bin Ibrahim serta Pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti