JPPKK turun padang tinjau pendaftaran pelajar baharu PTSB

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
21 June 2026
Umum

KULIM, 21 Jun 2026 – Suasana penuh keterujaan dan harapan mewarnai hari pendaftaran pelajar baharu Sesi I 2026/2027 di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) apabila menerima kunjungan wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bagi meninjau sendiri perjalanan proses kemasukan pelajar ke institusi TVET tersebut.

JPPKK diwakili oleh Pengarah Bahagian Kurikulum, Puan Hilmun binti Mohamed bersama Penolong Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Encik Muhamad Faizal bin Md. Zulkifli. Ketibaan mereka disambut oleh Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita binti Arshad bersama barisan pengurusan tertinggi PTSB sebelum dibawa meninjau beberapa lokasi utama pendaftaran serta berinteraksi secara langsung dengan pelajar baharu, ibu bapa dan petugas yang terlibat.

Lawatan tersebut memberi peluang kepada pihak JPPKK melihat sendiri pelaksanaan proses pendaftaran di peringkat politeknik, di samping mendapatkan maklum balas secara terus daripada pelajar dan keluarga mereka mengenai pengalaman hari pertama mereka.

Menurut Puan Hilmun, pengalaman yang dilalui oleh pelajar pada hari pertama pengajian memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, keyakinan dan motivasi mereka sepanjang tempoh pembelajaran.

“Hari pendaftaran merupakan langkah pertama dalam perjalanan pendidikan seseorang pelajar. Apabila mereka disambut dengan baik, dibimbing dengan jelas dan merasakan sokongan daripada institusi, ia akan mewujudkan rasa kebersamaan serta keyakinan untuk terus berjaya dalam pengajian,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa institusi TVET hari ini memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional, sebaliknya menjadi platform pembangunan bakat yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Sementara itu, Encik Muhamad Faizal berkata pendekatan turun padang yang dilaksanakan oleh JPPKK merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh satu daripada iltizam JPPKK iaitu komunikasi strategik antara ibu pejabat dan politeknik bagi memastikan setiap dasar, inisiatif serta aspirasi pendidikan dapat diterjemahkan secara berkesan di lapangan.

“Kita mahu melihat sendiri bagaimana pengalaman pelajar bermula dari hari pertama mereka melangkah masuk ke POLYCC. Hubungan yang rapat antara JPPKK dan POLYCC penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa responsif, berkualiti dan berfokuskan pelajar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajah Norlili Juwita merakamkan penghargaan atas kesudian JPPKK meluangkan masa meninjau sendiri suasana pendaftaran pelajar baharu di politeknik tersebut.

Menurut beliau, kehadiran wakil JPPKK mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan agenda pemerkasaan TVET dilaksanakan secara menyeluruh serta sentiasa mengambil kira keperluan pelajar, institusi dan industri.

“Kehadiran pihak JPPKK hari ini memberikan suntikan semangat kepada seluruh warga kerja PTSB yang bertungkus-lumus memastikan urusan pendaftaran berjalan lancar. Ia juga membuktikan bahawa pembangunan TVET merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara semua pihak,” katanya.

Lawatan berkenaan turut mencerminkan iltizam berterusan JPPKK dalam memperkukuh ekosistem TVET negara melalui pemantauan berterusan, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan hubungan strategik antara ibu pejabat dan institusi.

Bagi pelajar baharu yang mendaftar pada hari tersebut, kunjungan JPPKK menjadi simbol bahawa perjalanan pendidikan yang bakal ditempuhi bukan sekadar proses memperoleh diploma, malah merupakan sebahagian daripada usaha besar negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti