
5 Julai 2026, Segamat– Hampir 300 sukarelawan menyertai Program Karisma Komuniti POLYCC Zon Johor di Kampung Jawa, hari ini, dalam usaha memperkasa komuniti melalui pelbagai aktiviti khidmat masyarakat, pemindahan ilmu dan pembangunan kemahiran.
Program itu diserikan dengan kehadiran Pengarah Akademik Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Dr Harshita Aini Haroon, yang diiringi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah, bersama barisan pengarah bahagian serta pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Johor.
Lebih 200 penduduk setempat mengambil bahagian dalam program yang berlangsung di sekitar Kampung Jawa, termasuk di Dewan Serbaguna Kampung Jawa, Balai Islam Kampung Jawa, Balai Islam Taman Jenalin 2 dan Tadika Perpaduan.
Antara pengisian utama ialah pameran TVET dan STEM, gunting rambut percuma, pemeriksaan penyaman udara kenderaan, penyelenggaraan penyaman udara fasiliti awam, pemeriksaan pendawaian elektrik serta aktiviti English Edu Fun untuk kanak-kanak.
Turut diadakan lima kursus pendek di bawah inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), iaitu Senam Tua, Jahitan Felt, Pemasaran Digital, Express Manicure dan Asas Mengecat bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran komuniti.
Dr Shamsuri berkata, Program Karisma Komuniti menjadi platform terbaik untuk warga POLYCC berkongsi kepakaran dan kemahiran dengan masyarakat selaras aspirasi melahirkan institusi TVET yang dekat di hati rakyat.
“Program seperti ini bukan sekadar menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat, malah membuka ruang kepada pensyarah dan pelajar mengaplikasikan ilmu serta kemahiran yang dimiliki bagi memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
“Usaha memperkukuh jaringan antara institusi pendidikan dan masyarakat perlu diteruskan supaya manfaat TVET dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Profesor Dr Harshita berkata, penglibatan aktif institusi pendidikan tinggi dalam program berteraskan komuniti mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, pendekatan pembelajaran melalui khidmat komuniti berupaya membentuk graduan yang lebih holistik serta peka terhadap keperluan masyarakat.
Program berkenaan berakhir dengan sesi ramah mesra bersama penduduk dan Jamuan Rakyat di Balai Islam Kampung Jawa yang mengeratkan lagi hubungan antara warga POLYCC dan komuniti setempat.

