Kayuhan Promosi KKSB @ Le Tour de Sabak Bernam santuni komuniti masjid

KOLEJ KOMUNITI SABAK BERNAM
18 January 2024
Komuniti

16 Januari 2024 , Sabak Bernam – Selaras dengan matlamat pelancaran program ‘TVET Mic On’, seramai 15 orang kakitangan Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) terdiri daripada pensyarah dan staf sokongan telah berjaya melakukan kayuhan basikal dari masjid ke masjid sekitar Daerah Sabak Bernam sejauh kira-kira 50 km.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, program santuni rakyat tempatan melalui Kayuhan Promosi KKSB tetap dijalankan namun sedikit berbeza kali ini apabila pihak KKSB memilih masjid-masjid sebagai tempat persinggahan seterusnya membuat hebahan program pengajian dan kursus di KKSB bagi pelajar lepasan SPM dan masyarakat umum. Pihak-pihak masjid sangat berbesar hati memberi keizinan kepada pihak KKSB untuk membuat tampalan poster berserta maklumat program pengajian KKSB di papan kenyataan masjid dan memudahkan segala urusan.

Penduduk Sabak Bernam yang sememangnya dikenali dengan sifat baik hati dan mesra bertutur dalam dialek Jawa dan Banjar sangat menyambut baik kunjungan warga KKSB ke mukim mereka. Antara masjid yang dikunjungi peserta kayuhan ini ialah Masjid Jamek Sultan Hishamuddin di Pekan Sabak Bernam, Masjid Jamek Mahmudiah di Kampung Baru, Masjid Kampung Tebuk Mufrad di Sungai Air Tawar, Masjid Ar-Rahmaniah dan Masjid Ar-Rahman juga di Sungai Air Tawar serta Masjid Ubudiah di Kg. Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar.

Sambil menyelam, minum air; tidak dapat dinafikan selain menunaikan tujuan utama program, para peserta kayuhan dapat meneroka keindahan kampung-kampung di Daerah Sabak Bernam yang dikelilingi dengan pelbagai tanaman dan menyaksikan kehalusan seni bina masjid-masjid lama di daerah ini. Tambahan, terdapat masjid yang telah dibina lebih 130 tahun namun masih utuh dimanfaatkan hingga hari ini.

Konsep program kayuhan promosi ini menjadi pemangkin yang sesuai kepada peranan penubuhan kolej komuniti yang bertujuan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sekitar melalui tawaran kursus sepenuh masa yang diiktiraf oleh kerajaan dan kursus pendek.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti