Keratan Akhbar: 200 anak yatim, asnaf terima sumbangan duit raya pada program iftar Jamaie

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
12 March 2026
KERATAN AKHBAR, Lain-Lain

KUCHING, 11 Mac: Seramai 200 anak yatim dan golongan asnaf dari sekitar Petra Jaya menerima sumbangan duit raya menerusi Program Iftar Jamaie Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma di sini, hari ini.

Pengasas Kelab Golf K30, Zabidi Shabaneh, berkata sumbangan itu hasil kutipan daripada rakan-rakan dalam kalangan komuniti pemain golf yang prihatin terhadap kebajikan masyarakat.

“Setiap tahun kita mengadakan program ini sebagai usaha kebajikan dengan mengumpulkan sumbangan daripada rakan-rakan yang juga ahli kelab golf untuk membantu anak-anak yatim dan golongan asnaf.

“Alhamdulillah, tahun ini kita berjaya mengumpulkan lebih RM30,000 untuk diagihkan kepada 200 anak yatim dan asnaf yang hadir malam ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Program anjuran Kelab Golf K30 itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dengan kehadiran kira-kira 400 jemputan.

Pada majlis berkenaan, seramai 200 penerima menerima sumbangan duit raya terdiri daripada 63 penerima dari Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM), diikuti 44 penerima dari Kolej Komuniti Kuching.

Selain itu, 38 keluarga asnaf dari Taman Sukma, 22 keluarga asnaf dari Petra Jaya, 21 penerima daripada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Kuching serta 12 penerima dari Pusat Kebajikan Baitulrahmah turut menerima sumbangan. – TVS

Sumber: TVS Online, 11 Mac 2026
Sumber gambar: TVS

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti