
KUCHING, 11 Mac: Sebanyak 600 pek bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat sekitar menerusi Program Iftar Jamaie Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma, di sini hari ini.
Program tahunan itu dianjurkan hasil kolaborasi antara Kolej Komuniti Kuching (KKKG), Kelab 30, Persatuan Golf Amatur Bumiputra Sarawak (PGABS), Liansin Trading Sdn Bhd serta pihak Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma.
Pengasas Kelab Golf K30, Zabidi Shabaneh berkata, penyediaan dan pengagihan bubur lambuk berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“Kami menyediakan kira-kira 600 pek bubur lambuk dan agihan berjalan dengan lancar. Sambutan daripada masyarakat juga sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Menurutnya, program tersebut dianjurkan hampir 10 tahun berturut-turut sebagai salah satu inisiatif kebajikan bersama komuniti.
“Setiap tahun kami mengadakan agihan bubur lambuk dan pada masa sama mengumpulkan sumbangan daripada rakan-rakan serta ahli kelab golf untuk membantu anak-anak yatim dan golongan asnaf,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw berkata pihaknya menghargai kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyediaan dan pengagihan bubur lambuk tersebut.
“Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama ini kerana dapat sama-sama menyumbang tenaga dalam menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat.
“Terima kasih juga kepada semua warga kerja dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menyiapkan serta mengedarkan bubur lambuk hari ini,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja menyemarakkan bulan Ramadan, malah mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Liansin Trading Sdn Bhd, Junaidi Ali berkata pihaknya bersyukur program tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar hasil kerjasama pelbagai pihak.
“Saya amat berterima kasih kepada penganjur khususnya Tuan Haji Zabidi, Kolej Komuniti Kuching serta ahli-ahli masjid yang menjayakan program hari ini.
“Alhamdulillah cuaca juga baik dan ini memudahkan orang ramai hadir serta melancarkan proses agihan bubur lambuk,” katanya.
Menurutnya, syarikat berkenaan turut aktif menyertai pelbagai program kebajikan bersama komuniti di seluruh Sarawak memandangkan syarikat itu mengedarkan bekalan beras ke pelbagai kawasan termasuk Sibu, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas. – TVS
Sumber: TVS Online 11 Mac 2026
Sumber gambar: TVS