Keratan Akhbar: KKKG perkasa pelajar berkeperluan khas melalui program ‘Daily Life Skills 2026’

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
18 March 2026
Utusan Borneo

KUCHING:Unit Sijil Khas Jahitan Kreatif, Kolej Komuniti Kuching (KKKG) hari ini menganjurkan Program Daily Life Skills 2026 sebagai usaha proaktif dalam memperkasakan pelajar berkeperluan khas dengan kemahiran asas kehidupan yang kritikal.

Program yang berlangsung di Bilik Mesyuarat KKKG itu bertujuan memberi pendedahan secara praktikal bagi membantu golongan pelajar ini menjalani kehidupan harian dengan lebih berdikari di samping meningkatkan keyakinan diri.

Pensyarah KJT KKKG Nor Syarquella Ernie Khalid berkata, tumpuan utama program diberikan kepada enam aspek penting iaitu pengurusan diri, pengurusan wang, keselamatan dalam penggunaan teknologi maklumat, kemahiran sosial, pengurusan masa serta kemahiran asas dapur.

“Program ini dirancang bagi membimbing pelajar secara berstruktur agar mereka dapat mengaplikasikan kemahiran penting seperti amalan kebersihan diri, membuat pilihan pembelian yang bijak serta penggunaan telefon bimbit secara berhemah dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan yang menghantar penceramah jemputan.

Antara pengisian utama aktiviti termasuk slot pengurusan masa dan kemahiran sosial yang dibimbing oleh Pegawai Psikologi Mariana Baliron Lenjau.

Selain itu, slot pengurusan kewangan dan kemahiran dapur asas dikendalikan oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi Nurul Earliana Nordin.

Selain penekanan terhadap kemahiran teknikal, program itu turut memberi fokus kepada pembentukan disiplin serta penerapan nilai adab dalam interaksi sosial bagi memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam masyarakat.

Secara keseluruhannya, inisiatif tersebut diharap menjadi platform pembelajaran berkesan yang mampu memperkasa kefungsian pelajar berkeperluan khas agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan yang semakin mencabar.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KKKG dalam menyediakan pendidikan inklusif yang melangkaui pembelajaran asas di dalam bilik darjah, demi memastikan kebajikan serta pembangunan modal insan pelajar khas sentiasa terpelihara.

Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik Nurul Hidayah Yussof dan Ketua Program Sijil Khas Jahitan Kreatif Gracienthy Goen.

Sumber: Utusan Borneo Online, 17 Mac 2026

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti