
KUCHING, 7 Ogos 2026: Pelajar berkeperluan khas Program Sijil Khas Jahitan Kreatif (KJT) Kolej Komuniti Kuching (KKKG) membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa apabila merangkul pingat emas pada International Agrifood and Biotechnology Festival @ Special Education Needs (iFAMB@SEN2026) yang berlangsung di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang, dari 2 hingga 4 Ogos lalu.
Kejayaan itu diraih menerusi penyertaan dalam pertandingan inovasi Kategori D: Special Education Needs – Agriculture/TVET menerusi produk Greenova Tote Bag, iaitu beg lestari yang dihasilkan menggunakan kain perca, lebihan kain dan sisa tekstil daripada industri jahitan.
Menurut kenyataan Kolej Komuniti Kuching, sebanyak 13 penyertaan daripada institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) serta Kolej Vokasional bersaing dalam kategori berkenaan.
Pasukan KKKG diketuai Ketua Program Sijil Khas Jahitan Kreatif Gracienthy Goen, dengan bimbingan Pensyarah KJT Nor Syarquella Ernie Khalid selaku mentor bersama dua pelajar, Muhammad Irfan Mirza Zuliskandar yang merupakan pelajar ketidakupayaan Specific Learning Disability (SLD) dan Mohamad Danish Dzulkornain, pelajar ketidakupayaan intelektual.
Gracienthy berkata, penilaian pertandingan merangkumi aspek inovasi, pembentangan poster, penerangan produk, nilai komersial, kemasan jahitan serta impaknya terhadap kelestarian alam sekitar.
Katanya, Greenova Tote Bag berjaya memikat panel penilai kerana menggabungkan elemen kelestarian, kreativiti dan nilai komersial melalui penggunaan semula sisa tekstil yang berpotensi mengurangkan pembaziran industri.
“Selain berfungsi sebagai beg pelbagai guna yang praktikal dan tahan lasak, produk itu turut memberi nilai tambah kepada bahan terpakai di samping menyokong amalan ekonomi kitaran serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Kejayaan tersebut turut membuktikan kemampuan pelajar berkeperluan pendidikan khas menghasilkan inovasi berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus menyerlahkan keberkesanan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang inklusif.
Katanya pencapaian berkenaan adalah hasil dedikasi, komitmen dan kerjasama erat antara pensyarah serta pelajar Program Sijil Khas Jahitan Kreatif dalam membangunkan inovasi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menyokong agenda pembangunan mampan dan inovasi hijau negara.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Kuching Sumbang Mandaw merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan inovasi atas pencapaian cemerlang tersebut.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak inovasi berimpak tinggi yang mampu terus mengharumkan nama Kolej Komuniti Kuching, POLYCC serta negara di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sumbert dan kredit: Utusan Borneo

