Keratan Akhbar : PMU pilihan pertama Thiveendra yang berasal dari Selangor

POLITEKNIK MUKAH
28 August 2023
Utusan Borneo

Utusan Borneo , 27 Ogos 2023

MUKAH: Walaupun berasal dari Kuala Langat, Selangor namun Thiveendra Raj Periasamy, 18, telah memilih Politeknik Mukah (PMU) sebagai pilihan pertama untuk menyambung pengajiannya.

Beliau telah melapor diri di PMU ditemani ibunya Kanagavalli Sinasamy untuk menyambung pelajaran dalam Diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Thiveendra yang berbangsa India mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu sebelum terus ke Mukah menggunakan jalan darat.

“Saya memilih PMU Sarawak kerana ingin mencari pengalaman dan kawan yang tinggal di Sarawak kerana negeri ini terdapat pelbagai bangsa, etnik dan agama,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Menurutnya lagi, orang Sarawak mudah bercampur serta peramah dengan bangsa lain dan tidak memilih sesiapa sahaja.

Abangnya juga pernah menasihatinya agar pilihan untuk menyambung pengajian adalah yang sesuai sama ada di Sarawak atau Sabah.

Ini kerana abangnya sebelum ini pernah belajar di Politeknik Kuching.

Selain sebab itu, Thiveendra suka melancong dan ingin berjalan-jalan di kawasan pedalaman dalam negeri ini setelah abangnya memberitahu bahawa Sarawak mempunyai kawasan yang amat luas dan banyak tempat cantik dan menarik.

Di samping itu juga katanya, dia ingin merasa makanan yang sedap di sini.

Tidak ketinggalan, dia juga ingin mempunyai ramai kawan pelbagai bangsa serta mengetahui adat resam dan budaya mereka.

Manakala ibunya juga berpendapat sama seperti anaknya.

“Kepelbagaian bangsa dan budaya dalam keharmonian penduduk berbilang kaum dan agama di Sarawak menjadikan mereka mempunyai daya toleransi tinggi terhadap perbezaan,” ujarnya.

Ini meletakkan rasa keyakinan yang tinggi untuk membenarkan anaknya menuntut di sini.

Sarawak juga antara negeri yang tenang dan damai yang tidak sesak serta sibuk.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti