
Malaysia Aktif, 4 November 2025
IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) telah menerima Anugerah Khas Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terbaik sempena Majlis Penutupan Konvensyen MADANI Rakan Siswa YADIM (RSY) 2025, kelmarin.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan kepada usaha kepimpinan dan gerak kerja cemerlang yang diterajui Pengerusi RSY PUO Sesi 2024/2025 Nur Sumayyah Mohd Yusof serta pasukannya yang berjaya mempelbagaikan inisiatif dakwah di peringkat kampus, nasional dan antarabangsa.
PUO dalam satu kenyataan semalam memaklumkan antara pencapaian utama yang menjadi faktor anugerah tersebut diberikan adalah penganjuran Misi Kemanusiaan Antarabangsa MADANI Kemboja 2025 (MADA’25) dan Multaqa MADANI PolyCC Peringkat Kebangsaan.
Selain itu, RSY PUO juga berjaya menggerakkan penubuhan semula 36 RSY di politeknik seluruh negara sekali gus mencatatkan keahlian tertinggi kebangsaan iaitu hampir 800 ahli aktif berbanding RSY politeknik lain.
Sementara itu, Yang Dipertua YADIM Datuk Dr. Hasan Bahrom ketika berucap menegaskan bahawa RSY perlu bertindak sebagai agen pendorong perubahan melalui ilmu, kesantunan dan kebijaksanaan agar mesej dakwah yang disampaikan dapat diterima secara menyeluruh oleh masyarakat.
Beliau menyampaikan ucapan tersebut bagi mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar semasa majlis perasmian penutupan.
Konvensyen diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, berlangsung selama tiga hari bermula 31 Oktober lalu. Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM Prof. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain dan Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM Shahrizal Mat.