
ARAU, 24 Jun 2026 – Program Latihan Khas Keusahawanan KEMAS Perlis 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 22 hingga 24 Jun 2026 bertempat di Makmal ACAD 3, Kolej Komuniti Arau Perlis (KKA). Program ini melibatkan penyertaan seramai 14 orang peserta terdiri daripada usahawan dan bakal usahawan KEMAS Perlis dengan tujuan memperkukuhkan pengetahuan, kemahiran dan pemikiran keusahawanan yang berdaya saing.
Sepanjang pelaksanaan program, peserta telah mengikuti beberapa modul utama yang dirangka bagi memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang keusahawanan. Modul yang dijalankan merangkumi Pengenalan Keusahawanan yang memberi fokus kepada pembentukan minda usahawan dan hala tuju perniagaan diikuti dengan modul Business Model Canvas (BMC) dan Rancangan Perniagaan bagi membantu peserta membangunkan model serta perancangan perniagaan yang sistematik.
Peserta turut mengikuti sesi Perkongsian Ilmu Keusahawanan dari Usahawan kepada Usahawan daripada Muhammad Ajwad Ahmad Fauzi, CEO Angkasa Tuah Enterprise merangkap Alumni Kolej Komuniti Arau yang menekankan penggunaan platform TikTok sebagai medium pemasaran digital yang berkesan, selain modul Asas Pemasaran dalam Perniagaan yang memberi pendedahan kepada strategi pemasaran menggunakan media sosial seperti TikTok dan Facebook.
Sebagai pelengkap program, peserta turut mengikuti sesi Asas Pengurusan Kewangan yang disampaikan oleh Dr. Sri Rahayu, S.E., M.Si. dari Universitas Islam Sumatera Utara yang memberi pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan perniagaan bagi memastikan kelestarian dan pertumbuhan perniagaan peserta.
Majlis penutupan program telah disempurnakan dengan kehadiran Yusof Othman, Pengerusi Aktiviti KEMAS Parlimen Arau, Ku Ahmisuhairi, Pegawai Unit Pembangunan Kemahiran Komuniti KEMAS dan Rosnizam Kamis, Pengarah Kolej Komuniti Arau.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam memperkasakan pengetahuan dan kemahiran peserta serta diharapkan jalinan kerjasama antara KEMAS Perlis dan Kolej Komuniti Arau akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.


