
Seiring dengan peredaran masa, pengangkutan air telah menjadi salah satu mod pengangkutan terpenting di dunia, termasuklah di Malaysia. Dengan jumlah pantai yang luas serta bilangan sungai yang banyak, negara kita telah sekian lama bergantung kepada pengangkutan air sebagai aset penting. Keadaan ini, bukan sahaja menyokong sektor pelancongan, malah memudahkan pergerakan kargo, menghubungkan kawasan terpencil serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dari sudut geografi, Malaysia berada dalam kedudukan yang agak straregik di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik yang dihubungkan melalui laluan laut utama seperti Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu-Sulawesi. Laluan perairan ini menjadikan Malaysia sebuah negara maritim utama di Asia Tenggara serta hab perdagangan global yang penting. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), industri maritim menyumbang kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. Sektor-sektor utama seperti pelabuhan, perkapalan, minyak dan gas, serta pelancongan marin memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan ekonomi Malaysia. Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, sebahagian besar urusan perdagangan antarabangsa Malaysia dijalankan melalui industri perkapalan.
Secara global, pengangkutan maritim kekal sebagai tunjang utama dalam menyalurkan barangan, bahan, dan sumber antara negara. Di negara kita, dua pelabuhan iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berfungsi sebagai pintu masuk utama bagi perdagangan dan logistik antarabangsa, sekali gus mengukuhkan peranan negara dalam perdagangan global.
Sejak bertahun-tahun lamanya, teknologi perkapalan dan navigasi perairan semakin berkembang. Kerajaan telah melabur dalam infrastruktur, teknologi, serta pembangunan sumber manusia bagi menyokong pertumbuhan dan kemajuan industri maritim. Dengan kemudahan perkapalan moden yang tersedia, kita kini mampu menguruskan perdagangan antarabangsa dengan lebih cekap serta kekal berdaya saing.
Inisiatif-inisiatif ini turut bertujuan menarik lebih ramai pelabur dan pelancong antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan lagi langkah Malaysia ke arah Ekonomi Biru yang mampan dan berdaya tahan. Artikel ini cuba mengupas isu-isu utama dan cabaran yang dihadapi dalam sektor pengangkutan air, serta meneroka penyelesaian yang berpotensi di negara kita. Tambahan, artikel ini juga memberikan penekanan kepada penerapan inovasi kejuruteraan dan teknologi canggih dalam memastikan kelestarian jangka panjang industri ini.
Isu dalam Pengangkutan Air
Salah satu cabaran terbesar dalam perkapalan global ialah kesesakan pelabuhan, terutamanya di pelabuhan besar dan sibuk. Dengan pertumbuhan berterusan perdagangan antarabangsa, banyak pelabuhan bergelut untuk mengendalikan peningkatan jumlah kapal kargo dan kontena. Contoh yang jelas berlaku semasa pandemik Covid-19, apabila Pelabuhan Los Angeles dan Long Beach di Amerika Syarikat menjadi terlalu sesak. Menjelang akhir tahun 2021, lebih daripada 100 kapal terpaksa menunggu di perairan untuk memunggah kargo, dengan sebahagiannya mengalami kelewatan selama berminggu-minggu. Situasi ini telah mengakibatkan gangguan besar termasuk kelewatan penghantaran, kos tambang yang lebih tinggi, serta kekurangan barangan keperluan di seluruh dunia. Keadaan tersebut telah menyebabkan keperluan mendesak untuk menambah baik reka bentuk pelabuhan, meningkatkan kapasiti, serta memperkukuh sistem logistik, khususnya ketika berdepan krisis seperti pandemik Covid-19.
Selain itu, isu kritikal lain yang berbangkit ialah keterhubungan yang lemah antara pengangkutan air dan pengangkutan darat seperti rangkaian kereta api dan jalan raya. Bagi memastikan operasi perkapalan yang cekap, kargo perlu dipindahkan dengan lancar daripada kapal ke daratan dan seterusnya ke destinasi akhir. Namun, di kebanyakan kawasan terutamanya negara membangun, prasarana yang disediakan masih tidak mencukupi. Sebagai contoh, Pelabuhan Lagos di Nigeria kerap mengalami kesesakan teruk akibat hubungan jalan raya dan kereta api yang lemah. Lori terpaksa menunggu berhari-hari hanya untuk memasuki pelabuhan, sekali gus menonjolkan kepentingan pelaburan dalam infrastruktur darat yang lebih baik bagi menyokong perdagangan maritim.
Isu keselamatan maritim dan lanun juga seringkali menimbulkan ancaman serius terhadap perkapalan global. Terdapat kawasan tertentu yang sangat berbahaya bagi kapal, antaranya Teluk Guinea di pesisir Afrika Barat yang terkenal dengan insiden rompakan laut. Pada tahun 2020 sahaja, lebih daripada 130 kelasi telah dijadikan tebusan dalam insiden rampasan dan serangan bersenjata. Risiko ini menyebabkan kos perkapalan meningkat dan tahap kebolehpercayaan menurun, kerana kapal mungkin terpaksa mengelak laluan tertentu demi faktor keselamatan.
Kesimpulannya, cabaran utama dalam pengangkutan air seperti kesesakan pelabuhan, kelemahan hubungan darat, dan ancaman keselamatan memerlukan perancangan pintar, pelaburan yang lebih kukuh, serta penggunaan teknologi canggih. Menangani isu-isu ini amat penting bagi membina sistem pengangkutan global yang lebih selamat, lebih dipercayai, dan lebih cekap pada masa hadapan.
Cabaran dalam Pengangkutan Air
Walaupun pengangkutan air menawarkan banyak manfaat, negara kita masih berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran yang menghadkan pertumbuhan serta tahap kebolehcapaian sektor ini. Halangan-halangan ini telah memperlahankan pembangunan laluan air dan menghalangnya daripada menjadi salah satu mod pengangkutan yang digunakan secara meluas. Antara cabaran utama adalah seperti berikut:
Di Malaysia, banyak jeti, terminal, dan bot telah usang serta kurang diselenggara. Di sesetengah kawasan luar bandar, jeti kayu masih digunakan sekali gus menimbulkan risiko keselamatan yang serius ketika cuaca buruk. Kemudahan penumpang juga sangat terhad, dengan ruang menunggu yang kecil dan tidak selesa serta tidak memenuhi piawaian moden. Tanpa naik taraf yang sewajarnya serta penggunaan peralatan moden, sistem pengangkutan air tidak dapat beroperasi dengan selamat, cekap, dan selesa seperti yang sepatutnya.
Liputan pengangkutan air di Malaysia adalah tidak seimbang. Ia lebih banyak digunakan di kawasan pelancongan seperti Melaka dan Pulau Pinang, serta di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak. Namun begitu, ramai penduduk di kawasan pedalaman dan bandar tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan feri atau pengangkutan sungai. Akibatnya, pengangkutan air tidak dianggap sebagai pilihan praktikal untuk perjalanan harian dari pintu ke pintu. Dari masa ke masa, bentuk tradisional pengangkutan air juga semakin dilupakan, sekali gus mengurangkan peranannya dalam sistem pengangkutan moden negara.
Malaysia sering mengalami hujan lebat dan ribut petir, khususnya pada musim monsun. Keadaan ini berbahaya bagi bot dan feri kecil. Kemalangan sering berlaku ketika cuaca buruk, dan keadaan menjadi bertambah buruk akibat kekurangan peralatan keselamatan asas seperti jaket keselamatan atau kerana bot membawa muatan penumpang melebihi kapasiti. Dalam sesetengah kes, pengusaha bot juga gagal mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan, sekali gus mendedahkan penumpang kepada risiko yang lebih serius.
Pengurusan pengangkutan air memerlukan pengendali bot yang berkemahiran tinggi, selain jurutera dan kakitangan penyelenggaraan. Namun, ramai pekerja dalam sektor ini hanya menerima latihan yang terhad atau tidak mencukupi. Situasi ini bukan sahaja menurunkan kualiti perkhidmatan, malah meningkatkan risiko kegagalan teknikal dan berlakunya kemalangan. Sikap sambil lewa pengendali bot dalam pengambilan tenaga kerja yang mahir juga menyumbang kepada permasalahan ini.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kereta, bas, dan motosikal kekal sebagai mod pengangkutan utama. Pengangkutan air sering dianggap perlahan, ketinggalan zaman, atau hanya sesuai untuk pelancong. Oleh kerana permintaan awam rendah, kerajaan mahupun syarikat swasta kurang terdorong untuk melabur dalam memperluas atau menambah baik perkhidmatan pengangkutan air.
Penyelesaian Mampan dan Teknologi
Dengan kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim, permintaan terhadap penyelesaian pengangkutan yang lestari adalah sangat kritikal. Walaupun dahulu dianggap sebagai alternatif berimpak rendah, pengangkutan air kini sedang melalui transformasi teknologi yang signifikan bagi memenuhi piawaian kelestarian moden. Sistem pintar, sumber tenaga bersih, dan konsep reka bentuk mesra alam digabungkan untuk menghasilkan inovasi yang mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, meningkatkan kecekapan tenaga, serta melindungi ekosistem marin. Kemajuan ini bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, malah memastikan daya tahan ekonomi jangka panjang serta mengukuhkan peranan industri maritim di peringkat global.
Salah satu pencapaian paling revolusioner dalam teknologi maritim ialah sistem pendorongan hibrid-elektrik, yang menawarkan pelbagai kelebihan dari segi kecekapan dan kelestarian. Apabila beroperasi dalam mod elektrik, kapal dapat bergerak hampir tanpa bunyi, sekali gus mengurangkan gangguan akustik daripada enjin. Ini memberikan pengalaman perjalanan yang lebih tenang kepada penumpang dan kru, di samping meminimumkan pencemaran bunyi yang boleh menjejaskan hidupan marin.
Sistem pendorongan hibrid-elektrik juga membolehkan kapal beroperasi di zon sensitif alam sekitar atau kawasan larangan tertentu, dengan menawarkan tempoh perjalanan tanpa pelepasan karbon serta pengurangan besar dalam penggunaan bahan api. Selain manfaat alam sekitar, sistem ini turut menjanjikan ketahanan jangka panjang serta kebolehsuaian, terutamanya apabila peraturan pelepasan global semakin ketat dan lebih banyak kawasan pemuliharaan marin diwujudkan. Dengan menggabungkan tenaga yang lebih bersih bersama reka bentuk moden, teknologi pendorongan hibrid merupakan langkah penting ke arah pengangkutan air yang mampan.
Sistem penjadualan pintar dapat meningkatkan kecekapan dengan menggunakan data masa nyata seperti keadaan cuaca, corak pasang surut, kesesakan pelabuhan, dan trafik marin untuk meramalkan laluan serta masa berlepas yang paling optimum. Langkah ini bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah mengoptimumkan penggunaan armada serta meminimumkan tempoh menunggu. Dengan pengoptimuman laluan, penggunaan bahan api dapat dikurangkan, sekali gus menurunkan pelepasan karbon dan menjimatkan kos secara signifikan.
Melalui ramalan analitik, pengendali dapat menjangka permintaan, melaras jadual dengan lebih fleksibel, serta mengagihkan semula sumber apabila berlaku perubahan mendadak atau kelewatan yang tidak dijangka. Sistem penjejakan moden pula membolehkan pemantauan berterusan terhadap kedudukan kapal, kelajuan, haluan, dan anggaran masa tiba (ETA) hampir dalam masa nyata. Ini membolehkan pengendali mengurus armada secara proaktif dan efisien, mengubah kedudukan kapal untuk mengelakkan kelewatan, serta memberi maklumat terkini kepada penumpang, pihak berkuasa pelabuhan, dan rakan logistik.
Pengintegrasian alat pemantauan cuaca dengan Sistem Maklumat Geografi (GIS) turut mempertingkatkan proses membuat keputusan dengan mengenal pasti laluan terbaik serta mengenalpasti potensi bahaya. Penjejakan masa nyata juga mengukuhkan kerjasama terminal dengan meningkatkan koordinasi antara kapal dan terminal, sekali gus mengurangkan kesesakan serta mempercepatkan perjalanan masa pergi dan balik kapal.
Aspek keselamatan turut dipertingkatkan melalui penggunaan sistem pemantauan pintar. Teknologi ini menjejak prestasi kapal, keadaan enjin, dan parameter operasi, serta dapat mengesan kelainan atau potensi kerosakan sebelum menjadi lebih serius. Amaran automatik akan memaklumkan kru dan pengendali mengenai masalah mekanikal, keadaan berbahaya, atau penyimpangan daripada laluan yang dirancang, membolehkan tindakan segera diambil. Protokol keselamatan berasaskan data dinamik ini bukan sahaja melindungi kargo, malah turut menjamin keselamatan penumpang dan kru.
Selain itu, sistem pintar turut menghasilkan laporan automatik yang tepat untuk tujuan audit dan pemeriksaan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan sentiasa terjamin. Gabungan analitik ramalan, pemantauan masa nyata, dan pengurusan keselamatan pintar menjadikan pengangkutan maritim lebih cekap, boleh dipercayai, dan mampan.
Pemodenan infrastruktur teras pengangkutan air merupakan salah satu langkah paling penting bagi memastikan penyelesaian teknologi canggih dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan. Pengembangan serta penaiktarafan infrastruktur pelabuhan, terminal, dan sistem navigasi membolehkan rangkaian pengangkutan air mengendalikan jumlah trafik yang lebih besar dengan lebih cekap. Antara penambahbaikan utama termasuk memperdalam sungai bagi menampung kapal bersaiz besar, mewujudkan lebih banyak ruang tambatan, serta memasang peralatan moden bagi pengendalian kargo. Langkah-langkah ini dapat mengurangkan intensiti kerja manual, memendekkan masa perjalanan pergi dan balik kapal, dan meningkatkan kecekapan keseluruhan.
Sebahagian besar usaha pemodenan ini dipacu oleh teknologi pintar. Sistem Pengurusan Pelabuhan Digital (PMS) memudahkan pemantauan kargo, pelepasan kastam, dan penjadualan kapal, sekali gus mempercepatkan koordinasi serta meningkatkan prestasi. Begitu juga, penggunaan kren automatik, sistem pemantauan canggih, dan platform logistik bersepadu dapat mempertingkatkan keselamatan, mengurangkan kesilapan manusia, serta mengoptimumkan penggunaan sumber.
Pelaburan dalam infrastruktur digital seperti rangkaian 5G dan Internet Pelbagai Benda (IoT) turut membuka jalan kepada operasi kapal kawalan jauh dan kapal autonomi, yang menandakan masa depan operasi maritim. Pada masa yang sama, pembangunan infrastruktur lestari semakin diberi penekanan. Pelabuhan moden kini menawarkan sambungan kuasa darat (shore power), membolehkan kapal mematikan enjin semasa berlabuh, sekali gus mengurangkan pelepasan gas dan pencemaran bunyi.
Inisiatif hijau juga diterapkan dalam projek pembinaan dan naik taraf, termasuk sistem pengurusan air ribut, pencahayaan cekap tenaga, serta penggunaan bahan binaan mesra alam. Selain itu, terminal baharu dan stesen pengecasan turut dibangunkan bagi menyokong kapal elektrik serta kapal berasaskan bahan api alternatif. Secara keseluruhannya, kemajuan ini menjadikan pengangkutan air lebih cekap, mesra alam, dan selari dengan matlamat pembangunan global serta agenda perubahan iklim.
Bagi bandar yang terletak di sepanjang sungai, tasik, atau kawasan pesisir pantai, pengangkutan air menawarkan alternatif yang praktikal dan cekap berbanding perjalanan berasaskan darat. Pendidikan serta kempen kesedaran awam yang menonjolkan kemudahan dan manfaat pengangkutan air terbukti berkesan dalam menggalakkan penggunaannya.
Contoh yang baik dapat dilihat di Sydney, di mana ramai pengguna memilih feri sebagai pilihan perjalanan bebas tekanan berbanding terperangkap dalam kesesakan lalu lintas jalan raya. Mempromosikan pengangkutan air sebagai sebahagian daripada pelan mobiliti bandar bersepadu boleh membantu mempelbagaikan pilihan pengangkutan serta mengurangkan beban pada sistem darat yang semakin sesak.
Kempen kesedaran juga boleh memberi tumpuan kepada aspek penting seperti aksesibiliti untuk golongan orang kelainan upaya (OKU), kemampuan kos, serta keselesaan dan pengalaman pemandangan indah yang ditawarkan oleh perjalanan berasaskan bot. Dengan menekankan faktor-faktor ini, bandar-bandar dapat memupuk penerimaan awam yang lebih meluas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan air sebagai pilihan perjalanan yang mampan dan menyeronokkan.
Kesedaran awam terhadap skim pengangkutan air di Malaysia masih berada pada tahap sederhana kerana pengguna lebih terbiasa dengan sistem jalan raya dan pengangkutan darat yang lebih meluas. Walaupun perkhidmatan pengangkutan air seperti feri, bot laju dan perkhidmatan penambang telah lama wujud, kebanyakannya hanya digunakan oleh komuniti setempat di kawasan pesisir pantai, pulau dan sungai. Kurangnya promosi, infrastruktur yang terhad serta persepsi bahawa pengangkutan air kurang efisien berbanding jalan raya menyebabkan masyarakat kurang memberi perhatian terhadap opsyen ini. Namun begitu, dengan peningkatan isu kesesakan lalu lintas di bandar utama serta usaha kerajaan memperkenalkan pengangkutan air moden seperti “water taxi” di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, kesedaran awam dijangka meningkat seiring dengan kempen penerangan, penambahbaikan kemudahan, serta sokongan terhadap pengangkutan hijau yang lebih mesra alam.
Penutup
Pengangkutan air memainkan peranan yang sangat penting dalam ekonomi Malaysia, menyumbang kira-kira 40% daripada KDNK negara, dengan lebih daripada 90% perdagangan dijalankan melalui laut. Pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) antara yang paling sibuk di dunia, masing-masing mengendalikan sebanyak 14.06 juta dan 10.5 juta kontena pada tahun 2023. Walaupun begitu, sektor pengangkutan air Malaysia masih berdepan dengan pelbagai cabaran besar.
Dermaga yang usang dan tidak selamat di kawasan luar bandar menyebabkan kelewatan serta risiko operasi. Aksesibiliti juga masih terhad bagi komuniti pedalaman, yang mempunyai pilihan terhad untuk menggunakan bot atau feri. Musim monsun menambahkan lagi kerumitan perjalanan, dengan angin kencang serta hujan lebat yang meningkatkan risiko keselamatan. Kekurangan tenaga kerja mahir turut menjejaskan kecekapan sektor ini, manakala persepsi awam pula sering menganggap pengangkutan air kurang praktikal berbanding pilihan berasaskan darat.
Namun begitu, Malaysia sedang melangkah ke hadapan dengan usaha serius untuk memodenkan dan memperkukuh sektor maritimnya. Melalui pelaburan dalam teknologi canggih, amalan mampan, dan penaiktarafan infrastruktur, negara ini sedang berusaha ke arah sistem pengangkutan air yang lebih selamat, mesra alam, dan efisien. Langkah ini bukan sahaja akan menyokong pertumbuhan ekonomi, malah meningkatkan tahap keterhubungan serta aksesibiliti bagi rakyat di seluruh negara.
Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.

Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur.

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.