Pensyarah Sijil Teknologi Automotif KKBB kongsi kepakaran bersama PERKESO

KOLEJ KOMUNITI BUKIT BERUANG
06 March 2024
Umum

15 Januari 2024, Bukit Beruang – Program Sijil Teknologi Automotif telah mendapat jemputan untuk menjalankan kursus pendek Servis Asas Motosikal di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka. Program ini dianjurkan bersempena dengan kunjungan hormat Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusof, Ketua Menteri Melaka bersama YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia yang baharu dilantik. Turut serta dalam lawatan kali ini ialah Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan beberapa orang delegasi luar untuk melihat kecanggihan fasiliti di situ. 

Kursus ini juga adalah sebahagian daripada aktiviti yang akan dirancang bersama pihak Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka dan Pusat REHABILITASI PERKESO dalam kolaborasi kedua-dua pihak nanti. Seramai 7 orang peserta kursus Orang Berinsuran (OB) di bawah PERKESO telah menyertai kursus ini yang terdiri dari pesakit-pesakit yang sedang mendapatkan rawatan pemulihan di situ. Peserta didedahkan dengan ilmu asas teknikal motosikal berkuasa rendah. Mereka juga berpeluang menambah ilmu tentang pemeriksaan bateri motosikal dan tayar motosikal. 

Dalam kursus kali ini, pasukan pensyarah program Teknologi Automotif telah membawa alat diagnosis sistem elektronik motosikal untuk dikongsikan bersama peserta. Tenaga pengajar yang diketuai oleh Ts Mohd Hisham bin Mokhtar, Ketua Program Sijil Teknologi Automotif dan seramai 5 orang pensyarah turut sama membantu dalam kursus kali ini. 

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti