PKK ganding sembilan agensi gerakkan gotong-royong mega, benteng ancaman demam denggi sebelum semester baharu bermula

POLITEKNIK KOTA KINABALU
28 June 2026
Komuniti

KOTA KINABALU, 27 JUN 2026 – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mengambil langkah agresif dalam membanteras ancaman maut demam denggi dengan menggerakkan seluruh warga kampus melalui Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Politeknik Kota Kinabalu, di sini semalam.

Langkah drastik itu diambil bagi menyahut seruan dan amanat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sempena kempen pencegahan denggi peringkat kebangsaan..

Program strategik ini dijadualkan berlangsung sepanjang sebulan, bermula dari 14 Jun sehingga 13 Julai depan. Pelaksanaan gotong-royong berskala besar ini juga bertindak sebagai langkah siap siaga yang kritikal, memandangkan sesi pembelajaran semester baharu dijadualkan bakal bermula sepenuhnya pada minggu hadapan.

Pengarah PKK, Md Nor Abdul Halim, berkata persekitaran yang tidak bersih dan kewujudan tempat takungan air merupakan faktor utama penularan wabak yang boleh membawa maut tersebut, sekali gus menuntut anjakan tindakan yang berterusan daripada seluruh warga kampus.

”Program berskala mega ini bukan sekadar aktiviti pembersihan biasa, tetapi ia merupakan satu bukti nyata dan komitmen padu PKK untuk mewujudkan sebuah ekosistem kampus yang bersih, sihat, selamat, dan kondusif secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program yang juga Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PKK, Kasmawati Senawing, semasa menyampaikan taklimat keselamatan dan pembahagian zon memperincikan bahawa operasi gempur ini dilaksanakan secara bersasaran bagi memastikan impak yang maksimum.

Beliau menjelaskan, keseluruhan kawasan operasi telah dibahagikan kepada dua zon utama iaitu Zon Kuarters yang merangkumi 10 blok kediaman serta Zon Kolej Kediaman (Kamsis) yang melibatkan 15 blok penempatan pelajar.

Bagi memastikan kelancaran gerak kerja, setiap blok kuarters dan kolej kediaman digerakkan di bawah seliaan ketat Ketua Blok serta Felo masing-masing.

”Skop utama gotong-royong mega hari ini adalah memfokuskan sepenuhnya kepada usaha menghapuskan sumber-sumber pembiakan nyamuk Aedes. Bagaimanapun, aspek keselamatan adalah keutamaan paling tinggi. Semua peserta wajib menjaga keselamatan diri sepanjang aktiviti berlangsung bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujar Kasmawati.

Apa yang menarik, penganjuran kali ini memperlihatkan usaha sama yang luar biasa melalui penyatuan sembilan buah agensi, kelab dalaman, dan rakan korporat.

Gandingan mantap tersebut menyaksikan penglibatan Unit Khidmat Pengurusan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PKK, PUSPANITA PKK, Kelab Rekreasi dan Kebajikan Staf (KERIS), Gerai PKK, Securi-Pro Protection, Pembinaan Bumi Hijau, dan PKH Bakat Niaga.

Operasi bersepadu ini menumpukan kepada tindakan tuntas seperti membersihkan kawasan sekitar bangunan, mengutip sampah dan bahan terbuang, serta melakukan pemeriksaan rapi di kawasan yang berisiko tinggi menjadi sarang pembiakan vektor berbahaya itu.

Pihak pengurusan PKK juga optimis bahawa program ini bukan sahaja mampu meminimalkan risiko jangkitan denggi di kawasan kampus, malah menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan lagi semangat kerjasama, perpaduan, serta budaya sukarelawan dalam kalangan warga politeknik dan komuniti setempat.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti