POLISAS rai anak yatim sempena Ramadan

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
02 April 2024
Komuniti

27 Mac 2024, Kuantan – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) melalui Badan Beruniform Pandu Puteri Klover POLISAS dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan kecil POLISAS meraikan anak-anak yatim dan asnaf sempena Majlis Iftar Santunan Rumah Kebajikan Baitul Husna, Kampung Pelindung, Kuantan.

 

Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim berkata, program ini dilaksanakan sebagai inisiatif bagi meraikan dan menceriakan penghuni rumah kebajikan tersebut di samping mengeratkan lagi silaturrahim antara institusi ini dengan komuniti setempat.

 

“ Seramai 33 penghuni daripada Rumah Kebajikan Baitul Husna diraikan dengan penuh meriah dalam majlis ini , yang juga merupakan program tradisi yang dilaksanakan oleh anggota Pandu Puteri sempena Ramadan. Mereka juga turut diberikan sumbangan berupa duit raya dan beg cenderahati ” katanya.

 

Tambahnya lagi, pada majlis ini juga turut disampaikan sumbangan dana bernilai RM1800 bagi menampung perbelanjaan pengoperasian Rumah Kebajikan Baitul Husna.

 

“Dana ini sebenarnya telah dikumpul oleh para pelajar POLISAS bagi kursus MPU 24801, MPU24701 dan MPU24201, iaitu kursus bagi memenuhi keperluan kandungan kursus Pandu Puteri iaitu kemahiran kepimpinan dan pengurusan dan pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

 

“Kutipan dana dan perbelanjaan majlis ini diperolehi antaranya daripada warga POLISAS, perseorangan serta sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Kuantan ”, ujarnya lagi.

 

Selain daripada majlis berbuka puasa, turut diadakan program Motivasi Menara Gading sebagai pendedahan awal kepada proses pembelajaran di politeknik khususnya.

 

Hadir sama ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang, Hajah Razana Fatin Abdullah@Razali; Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil POLISAS, Huzaimah Hussin, Penolong Pengurus Rumah Kebajikan Baitul Husna, Zuraida Ismail, Timbalan Pengarah Akademik POLISAS, Hajah Wan Zuraida Wan Yusoff serta Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLISAS, Azad Muslim Muhammad.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti