PSP laksana misi khidmat komuniti Polytechnic Service Responsibility (PSR) dan pengantarabangsaan di Pidie Jaya, Aceh

POLITEKNIK SEBERANG PERAI
10 March 2026
Kolaborasi, Komuniti

Pidie Jaya, Aceh, 10 Februari 2026 – Politeknik Seberang Perai (PSP) telah melaksanakan program khidmat komuniti dan pengantarabangsaan di Kabupaten Pidie Jaya, Provinsi Aceh, Indonesia pada 9 hingga 10 Februari 2026. Program ini diketuai oleh Pengarah PSP, Tuan Mohd Haji Ruzi bin Hamzah, bersama 10 orang staf dan enam orang pelajar.

Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai aktiviti kebajikan dan pembangunan komuniti telah dilaksanakan bagi membantu masyarakat setempat. Antaranya ialah aktiviti gotong-royong di SMP Mereh Dua selain penyampaian sumbangan satu unit sumur bor (telaga tiub), empat unit papan putih serta pelaksanaan aktiviti motivasi kepada para pelajar sekolah tersebut.

Delegasi PSP turut menyalurkan bantuan di Bustanul Aitam, Gampong Keude Ulim yang merangkumi pembinaan satu unit sumur bor serta sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tilam, telur, nasi kotak, mesin air minum, air minuman, mi segera dan wang tunai.

Di Maahad Ulumul Quran, sumbangan peralatan dapur, al-Quran dan tudung telah diserahkan bagi menyokong keperluan pelajar. Selain itu, tiga lagi sumur bor telah dibina iaitu di Balai Pengajian Nur Kamari, Gampong Lueng Bimba; Dayah Bustanul Muallimin Al-Munawwarah, Gampong Pohroh; dan di Gampong Seunong bagi memastikan komuniti mendapat akses kepada sumber air bersih yang lebih baik.

Program ini turut melibatkan bantuan persekolahan kepada mangsa banjir sekolah rendah dari tujuh kampung di Kecamatan Mereudu dan Meurah Dua yang diagihkan di Keude Mereudu. Agihan nasi bungkus juga dilaksanakan di Gampong Meunasah Lhok dan Gampong Blang Awe, manakala agihan zakat disempurnakan di Masjid Tuha serta di Meunasah Lhok dan Blang Awe.

Dalam rangka pengantarabangsaan, pada 10 Februari 2026 satu sesi Perkongsian Ilmu telah diadakan bersama Fakultas Teknik, Universitas Syiah Kuala (USK), Acheh bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Bilik Kuliah Fakultas Teknik, USK.

Delegasi pelajar PSP yang terdiri daripada enam orang diketuai oleh Sdr. Muhammad Danial Adi Putra bin Mazzaki, manakala pihak USK diwakili oleh 10 orang pelajar yang diketuai oleh Sdr. Muhammad Juliansyah.

Program perkongsian tersebut merangkumi tiga segmen utama iaitu Perkongsian Budaya bertemakan “Jambatan Warisan Nusantara”, Perkongsian Kepimpinan melibatkan pertukaran idea pengurusan organisasi pelajar, serta Perkongsian Akademik yang memfokuskan kepada pembentangan Projek Akhir berkaitan inovasi TVET.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia di samping menyemai nilai kemanusiaan, kepimpinan dan perkongsian ilmu dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi kepimpinan PSP di bawah Tuan Mohd Haji Ruzi bin Hamzah.

Keseluruhan program PSR ini mencerminkan komitmen PSP dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui kerjasama antarabangsa, sekaligus mengukuhkan hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti