
Seberang Perai, 9 Mac – Program Ihya’ Ramadan 2026 anjuran Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh kemeriahan dan penghayatan di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Perai (PSP), baru-baru ini.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Encik A. Azman bin Arshad, Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Dalam penganjuran kali ini, Politeknik Seberang Perai (PSP) diberi kepercayaan sebagai tuan rumah dan penganjur program di bawah penyelarasan Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP), JPPKK.
Majlis tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 1,300 peserta yang terdiri daripada warga POLYCC Zon Pulau Pinang, selain 40 wakil agensi dan rakan strategik yang turut hadir bagi memeriahkan program.
Antara institusi POLYCC yang terlibat ialah Politeknik Seberang Perai, Politeknik Balik Pulau, Politeknik Metro Tasek Gelugor, Kolej Komuniti Kepala Batas, Kolej Komuniti Seberang Jaya, Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Kolej Komuniti Bukit Mertajam, Kolej Komuniti Bayan Baru serta Kolej Komuniti Nibong Tebal.
Program ini turut mendapat sokongan daripada rakan industri dan agensi strategik, sekali gus memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi TVET, industri serta agensi berkaitan dalam usaha memperkasa pembangunan pelajar.
Pelbagai pengisian bermakna telah diadakan sepanjang program termasuk Ceramah Kenegaraan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Bicara Tabung Haji bertajuk “Graduan TVET dan Pengurusan Kewangan Berkat”, sesi Tadabbur Al-Quran, tazkirah Ramadan, penyampaian sumbangan wakalah agihan zakat, serta Majlis Iftar Perdana yang menghimpunkan warga POLYCC dalam suasana penuh ukhuwah dan keberkatan.
Dalam majlis tersebut, Lembaga Tabung Haji turut menyumbang sebanyak RM14,000 bagi menyokong penganjuran program, manakala Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyalurkan sumbangan Wakalah Agihan Zakat berjumlah RM148,885.43 kepada penerima yang layak.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Seberang Perai, Tuan Haji Mohd Ruzi bin Hamzah berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan silaturrahim serta memupuk nilai spiritual dalam kalangan warga TVET.
“Majlis ini mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan silaturrahim, memupuk nilai spiritual serta membina jati diri dalam kalangan warga TVET di Zon Pulau Pinang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP), JPPKK, semua institusi POLYCC yang terlibat, rakan industri serta agensi strategik yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Program Ihya’ Ramadan ini diharapkan dapat terus menjadi wadah dalam memperkasa pembangunan sahsiah, nilai kerohanian serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga POLYCC di masa hadapan.

