PROGRAM INSPIRASI KK SUNGAI PETANI PERKASA TVET, DEKATKAN KEPIMPINAN DAN WARGA INSTITUSI

KOLEJ KOMUNITI SUNGAI PETANI
19 January 2026
Umum, Uncategorized

SUNGAI PETANI, 18 Januari 2026 – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) terus komited memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara menerusi penganjuran Program Inspirasi Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) dan Majlis Ramah Mesra bersama Ketua Pengarah JPPKK, YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, hari ini.

Program berimpak tinggi itu bukan sahaja menjadi platform komunikasi dua hala antara pengurusan tertinggi jabatan dengan warga institusi, malah berfungsi sebagai medium penyampaian aspirasi, hala tuju serta dasar strategik JPPKK kepada peringkat pelaksana.

Dalam ucapannya, Dr. Shamsuri menegaskan bahawa kolej komuniti merupakan institusi strategik negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran, berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri semasa. Sehubungan itu, beliau menyeru agar warga institusi sentiasa bergerak secara progresif, inovatif dan berfokus dalam mendepani cabaran landskap pendidikan masa kini.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Sebaliknya, kita perlu memastikan setiap program dan inisiatif yang dilaksanakan memberi impak nyata kepada pelajar, komuniti dan negara,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen KKSP yang giat melaksanakan kerjasama industri serta konsep Industry on Campus melalui penubuhan Lite n Sweet Café dan Cempaka Spa & Salun, yang berfungsi sebagai platform latihan sebenar kepada pelajar. Inisiatif tersebut dilihat mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh hubungan institusi dengan industri.

Pada majlis yang sama, Dr. Shamsuri turut melancarkan beberapa penerbitan akademik iaitu buku BRU, Seni Barista Moden, Seni Ukiran Buah dan Student’s Handbook@KKSP. Menurut beliau, penulisan dan penerbitan akademik merupakan manifestasi budaya ilmu yang perlu terus diperkasakan dalam kalangan warga POLYCC, selari dengan usaha melahirkan institusi pendidikan yang matang dari segi intelektual dan profesionalisme.

Selain itu, majlis turut menyaksikan perasmian Cempaka Spa & Salun KKSP sebagai pusat latihan Industry on Campus bagi program Sijil dan Diploma Terapi Kecantikan, sekali gus membuka peluang pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar kepada pelajar.

Mengulas mengenai kepimpinan dan tadbir urus, Dr. Shamsuri menekankan bahawa kekuatan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada struktur, tetapi kepada kesatuan hati, kesefahaman pemikiran dan kesungguhan tindakan seluruh warganya.

Program ramah mesra tersebut turut memberi ruang dialog terbuka antara Ketua Pengarah JPPKK dan warga KKSP bagi mendengar pandangan, cadangan serta harapan secara langsung, sejajar dengan hasrat jabatan untuk membudayakan kepimpinan yang dekat, telus dan berintegriti.

Program Inspirasi KKSP diharapkan menjadi pemangkin kepada semangat baharu dalam kalangan warga kolej untuk terus memperkukuh peranan institusi sebagai pilihan rakyat serta penyumbang utama kepada pembangunan modal insan negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti