Program Jom Sembang Minda perkasa kesedaran kesihatan emosi warga Politeknik Mukah

POLITEKNIK MUKAH
18 May 2026
Umum

MUKAH, 18 Mei 2026 — Program Jom Sembang Minda: Sihat Emosi, Hebat Peribadi anjuran Unit Pengurusan Psikologi Politeknik Mukah berjaya memberi pendedahan berkaitan kesihatan mental serta teknik pengurusan emosi kepada warga institusi itu.

Program yang berlangsung di Bilik Seminar ULPL itu menampilkan Pakar Psikiatrik Hospital Sibu, Dr John Chieng yang berkongsi mengenai perbezaan antara stress, burnout dan depression selain menjelaskan faktor penyumbang serta kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental dan fizikal.

Beliau turut menekankan kepentingan self-compassion serta langkah mendapatkan bantuan menerusi saluran sokongan dan platform kesihatan mental yang disediakan.

Ketua Unit Pengurusan Psikologi Politeknik Mukah, Tang See Lik berkata program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan penjagaan kesihatan emosi dalam kehidupan dan persekitaran kerja.

“Kesihatan mental merupakan aspek yang sangat penting dan tidak boleh dipandang ringan. Melalui program ini, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu, malah didedahkan dengan teknik praktikal yang boleh diamalkan bagi mengurus tekanan secara sihat,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Sementara itu, slot bengkel praktikal yang dikendalikan oleh Cik Rene Alana Stephen dari PKMB Mukah turut mendapat perhatian peserta menerusi perkongsian teknik relaksasi mudah seperti teknik pernafasan, relaksasi otot dan teknik lemon squeeze.

Seorang peserta, Nur Iqmal Firdaus Dainis menyifatkan program tersebut sebagai sangat bermanfaat dan memberi kesedaran baharu mengenai pengurusan emosi.

“Saya lebih memahami perbezaan antara stress, burnout dan depression serta cara mengawal tekanan melalui teknik yang mudah dipraktikkan dalam kehidupan harian,” katanya.

Program berkenaan diharap dapat melahirkan warga kerja yang lebih peka terhadap kesejahteraan mental demi mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan positif. — PMU

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti