
SUNGAI PETANI, 21 Jun 2026 – Politeknik Seberang Perai (PSP) telah menyertai ASSAK@KEDAH STEM CARNIVAL 2026 yang berlangsung pada 20 hingga 21 Jun 2026 di Dewan Kenangan, Bangunan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Sungai Petani, Kedah.
Penyertaan ini adalah hasil jemputan daripada Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (ASSAK) sebagai salah satu usaha memperkukuhkan promosi pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta memperkenalkan program-program pengajian yang ditawarkan oleh PSP kepada pelajar sekolah dan masyarakat setempat.
Sepanjang karnival berlangsung, Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) yang mewakili PSP telah mengendalikan reruai pameran dengan pelbagai aktiviti dan permainan interaktif berasaskan STEM. Aktiviti yang disediakan berjaya menarik perhatian pengunjung, khususnya pelajar sekolah, untuk mendekati bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, kreatif dan praktikal.
Selain memberi pendedahan kepada konsep STEM, penyertaan ini turut menjadi platform untuk mempromosikan laluan pendidikan TVET yang ditawarkan di PSP serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STEM dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri masa kini.
Menurut Pengarah Politeknik Seberang Perai, Tuan Haji Mohd Ruzi bin Hamzah, penyertaan PSP dalam program seperti ASSAK@KEDAH STEM CARNIVAL 2026 merupakan platform penting untuk memperkenalkan pendidikan TVET dan STEM kepada generasi muda sejak di bangku sekolah.
“PSP sentiasa komited dalam menyokong agenda pembangunan modal insan negara melalui pemerkasaan pendidikan STEM dan TVET. Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi secara lebih dekat, sekali gus membuka minda mereka terhadap pelbagai laluan kerjaya yang ditawarkan dalam sektor TVET.
Kami berharap pendedahan awal ini dapat meningkatkan minat pelajar untuk menceburi bidang teknikal dan vokasional yang kini menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi serta keperluan industri negara,” katanya.
Diharapkan program seumpama ini dapat terus memperkukuh minat generasi muda terhadap bidang STEM dan TVET, sekali gus melahirkan modal insan yang kompeten, inovatif dan bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan yang dipacu oleh teknologi digital, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

