PTSB hayati gaya hidup aktif sempena National Training Week (NTW) 2026

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
22 July 2026
Umum

KULIM, 22 Julai – Usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus terus diperkasakan apabila lebih 100 pelajar, pensyarah dan kakitangan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menyertai NTW Fun Walk Challenge 2026 anjuran Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal sempena Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week – NTW) 2026.

Penganjuran program ini menjadi platform untuk menggalakkan warga PTSB mengamalkan gaya hidup aktif melalui aktiviti fizikal yang mudah dan boleh diamalkan secara konsisten dalam rutin harian. Penyertaan daripada pelbagai lapisan warga kampus turut mencerminkan komitmen institusi dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong kesejahteraan fizikal dan mental.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan regangan badan sebelum peserta mengikuti aktiviti berjalan kaki mengikut laluan yang telah ditetapkan. Dalam suasana yang ceria dan penuh semangat, aktiviti ini bukan sahaja memberi ruang kepada peserta untuk meningkatkan kecergasan fizikal, malah mengeratkan hubungan antara warga PTSB melalui penglibatan dalam aktiviti santai yang memberi manfaat bersama.

Lebih daripada sekadar aktiviti riadah, NTW Fun Walk Challenge 2026 turut membawa mesej kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan secara menyeluruh. Amalan berjalan kaki yang mudah dilakukan oleh semua peringkat umur mampu menyumbang kepada peningkatan kecergasan, kesejahteraan mental serta pencegahan risiko penyakit tidak berjangkit.

Sebagai inisiatif nasional, National Training Week (NTW) menyediakan akses percuma kepada peluang pembelajaran dan pembangunan kemahiran untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp, NTW memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam usaha memperkasakan individu dengan kemahiran yang relevan seiring perubahan dunia pekerjaan.

Penglibatan PTSB dalam program ini selari dengan aspirasi untuk membangunkan komuniti kampus yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, malah mengamalkan gaya hidup seimbang serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti