

KULIM | 15 Januari 2026 – Satu inisiatif kerjasama komuniti antara Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dan Hospital Kulim telah berjaya dilaksanakan menerusi penglibatan pasukan sukarelawan PTSB dalam usaha meningkatkan kemudahan mobiliti pesakit hospital.
Menerusi kerjasama ini, Hospital Kulim telah mengamanahkan sebanyak 14 unit kerusi roda yang diterima hasil sumbangan iCare Kulim serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada pasukan sukarelawan PTSB untuk tujuan pengubahsuaian. Inisiatif tersebut bertujuan memastikan kerusi roda berkenaan lebih selesa, selamat dan menepati keperluan sebenar penggunaan pesakit dalam persekitaran hospital.
Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita Binti Arshad berkata, penglibatan sukarelawan PTSB dalam program ini mencerminkan peranan institusi pendidikan bukan sahaja sebagai pusat pembelajaran, malah sebagai pemangkin kepada kesejahteraan komuniti.
“Kerjasama ini memberi peluang kepada warga PTSB untuk menyumbang kepakaran dan kemahiran secara langsung kepada masyarakat sekali gus memupuk nilai empati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar dan staf,” katanya.
Kerja-kerja pengubahsuaian telah dilaksanakan berdasarkan spesifikasi dan keperluan yang dikenal pasti oleh pihak hospital meliputi aspek keselamatan, kefungsian serta kesesuaian penggunaan bagi memastikan kemudahan tersebut dapat digunakan dengan selamat dan berkesan oleh pesakit.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Kulim, Dr. Azrulnizam bin Md Daud merakamkan penghargaan kepada PTSB atas komitmen dan sokongan yang diberikan.
“Sumbangan ini memberi impak yang sangat bermakna kepada pihak hospital khususnya dalam meningkatkan keselesaan dan mobiliti pesakit. Kami amat menghargai usaha dan kerjasama yang ditunjukkan oleh PTSB,” ujarnya.
Majlis penyerahan rasmi kerusi roda yang siap diubah suai telah disempurnakan oleh Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita binti Arshad.
Kerjasama ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan PTSB dalam menyokong agenda tanggungjawab sosial institusi, malah turut memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan pesakit hospital. Inisiatif seumpama ini diharap dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan bagi memperkukuh jaringan kerjasama bersama komuniti setempat.




