
KULIM – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terus mengorak langkah dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan dengan menjalin kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Kedah.
Menerusi pertemuan rasmi di PTSB, kedua-dua pihak membincangkan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang bertujuan membantu graduan mendapatkan pekerjaan serta meningkatkan hubungan dengan industri. Antara agenda utama adalah penganjuran Karnival Kerjaya My Future Jobs PTSB-PERKESO yang dijadualkan pada 14 hingga 15 Jun 2025. Karnival ini bakal menawarkan peluang pekerjaan, temuduga terbuka dan sesi bimbingan kerjaya secara langsung kepada pencari kerja.
Selain itu, PTSB turut dipilih sebagai Pusat Satelit Temuduga bagi PERKESO Kulim yang membolehkan sesi temuduga berkala bersama majikan diadakan di kampus. Usaha ini selaras dengan matlamat memastikan graduan mendapat akses mudah kepada peluang pekerjaan berkualiti.
Pengarah PTSB, Haji Mohd Ruzi bin Hamzah menyatakan komitmen institusi dalam memperkukuh hubungan dengan agensi berkaitan untuk memastikan graduan dilengkapi kemahiran dan persediaan terbaik sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Delegasi PERKESO turut berpeluang melawat fasiliti pembelajaran di PTSB bagi mengenal pasti peluang kerjasama dalam program latihan industri serta latihan semula (reskilling) tenaga kerja.
Kolaborasi ini menandakan langkah proaktif dalam merapatkan jurang antara pendidikan dan keperluan pasaran kerja sekali gus menyokong usaha pembangunan modal insan yang berdaya saing di peringkat nasional.