
SUNGAI PETANI – Dalam dunia teknologi yang berkembang pantas, kurikulum yang relevan menjadi asas penting dalam melahirkan graduan yang benar-benar memenuhi keperluan industri. Menyedari hakikat itu, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Course Assessment Plan (CAP) 2.0 bagi Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (BKE) bertempat di Swiss Avenue Hotel, Sungai Petani.
Bengkel ini menjadi platform kepada ahli akademik dan wakil industri untuk berbincang, berkongsi pandangan serta meneliti semula kandungan kurikulum agar selari dengan perkembangan teknologi, keperluan semasa industri dan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan. Pendekatan ini penting bagi memastikan graduan bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik yang kukuh, malah bersedia menghadapi cabaran sebenar di alam pekerjaan.
Penganjuran bengkel melibatkan jawatankuasa penggubalan kurikulum daripada PTSB, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA), selain mendapat input daripada panel penasihat industri yang mewakili syarikat-syarikat terkemuka dalam bidang elektronik dan semikonduktor.
Sepanjang bengkel berlangsung, pelbagai cadangan telah dikemukakan, termasuk berkaitan teknologi semasa, kandungan kursus serta pelaksanaan Work-Based Learning (WBL), bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang diterima pelajar benar-benar mencerminkan keperluan industri.
Kolaborasi erat antara institusi pendidikan dan industri ini membuktikan komitmen PTSB dalam memastikan setiap kurikulum yang dibangunkan sentiasa relevan, berkualiti dan berpandangan jauh. Usaha ini sekali gus memperkukuh peranan PTSB dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menyumbang kepada pembangunan sektor teknologi negara.

