Puspanita KKSJ Anjur Program Titian Kasih dan Ihsan, Santuni Masyarakat Desa di Baling

KOLEJ KOMUNITI SEBERANG JAYA
09 February 2026
Komuniti

Permatang Pauh- 02 Februari 2026- Dengan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial, warga Kolej komuniti Seberang Jaya (KKSJ) melalui Puspanita KKSJ telah menganjurkan program Titian Kasih dan Ihsan dengan bertemakan Puspanita KKSJ menyantuni masyarakat desa di Baling,Kedah.

Program ini merupakan inisiatif bersama Puspanita KKSJ, Kolej Komuniti Kepala Batas serta Universiti Sains Malaysia dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama komuniti dan memperluas impak tanggungjawab sosial institusi pendidikan TVET.

Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar KKSJ telah terlibat dalam menjayakan program ini. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) KKSJ dalam mempererat hubungan antara institusi pendidikan TVET dengan komuniti luar bandar.

Antara fokus utama program adalah kerja baik pulih pendawaian elektrik di Surau Kampung Ketemba bagi memastikan sistem elektrik berada dalam keadaan selamat, tersusun dan mematuhi aspek keselamatan. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan sistem elektrik di surau berada dalam keadaan selamat dan teratur.Program ini juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan teknikal secara langsung serta memupuk nilai-nilai murni, kerjasama dan keprihatinan sosial.

Selain itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan seperti mengecat bangunan surau, gotong-royong membersihkan kawasan sekitar, penyediaan makanan serta pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung.

Suasana sepanjang program berlangsung amat meriah dengan kehadiran penduduk kampung yang memberikan kerjasama penuh. Aktiviti gotong-royong serta sesi perkongsian ilmu menyerlahkan semangat perpaduan dan mengukuhkan hubungan silaturahim antara warga KKSJ dengan komuniti kampung.

Menurut Pengarah KKSJ, Ts Haji Husaini Aza bin Mohd Adam, aktiviti CSR bersama masyarakat kampung ini dapat menjadi medium berkesan dalam pemindahan ilmu dan kemahiran, di samping meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan penduduk setempat.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah menjadi medan pembelajaran sebenar kepada pelajar untuk menghayati nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial selaras dengan prinsip pendidikan TVET yang holistik,” ujar beliau.

Beliau turut berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan serta diperluaskan pada masa akan datang demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan insan secara berterusan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti