Santai minda bantu warga PUO urus tekanan kerja

POLITEKNIK UNGKU OMAR
24 June 2026
Komuniti

IPOH, 24 Jun – Menyedari kepentingan kesejahteraan mental dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup, Unit Pengurusan Psikologi (UPPsi) dengan kerjasama Corporate, Industrial Services & Employability Centre (CISEC), Politeknik Ungku Omar (PUO) menganjurkan Program Santai Minda : Transformasi Kesejahteraan Diri yang menghimpunkan hampir 50 pegawai dan staf institusi itu.

Program yang berlangsung dalam suasana santai tetapi penuh bermakna itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pengurusan emosi, pengurangan tekanan serta kepentingan menjaga keseimbangan kesihatan mental dan fizikal. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Brisk Walk (Grounding with Nature), sesi Ice Breaking dan Art Therapy yang memberi ruang kepada peserta mengekspresikan emosi secara kreatif dan terapeutik.

Program tersebut dikendalikan oleh Puan Kavitha A/P Shundagasan dan Encik Mohd Ruzaini Bin Muhammed, Pegawai Psikologi PUO bersama Kaunselor Pelatih UPPsi dari Universiti Sultan Azlan Shah.

Peserta, Norzaila Abu Jamin dari Unit Komunikasi Korporat (UKK), berkata program berkenaan membuka perspektif baharu mengenai cara mengurus tekanan kerja dan emosi secara lebih sihat.

“Program ini sangat baik untuk melepaskan tekanan kerja. Saya belajar bagaimana untuk meluahkan emosi dengan lebih positif melalui pelbagai teknik psikologi yang diperkenalkan. Aktiviti yang dijalankan juga menyeronokkan dan memberi kesan mendalam kepada diri saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Hajah Salmi binti Che Meh berkata, kesihatan mental tidak lagi boleh dianggap sebagai isu sampingan, sebaliknya perlu diberi perhatian serius oleh setiap organisasi.

Menurut beliau, warga kerja yang mempunyai tahap kesejahteraan mental yang baik lebih berupaya berdepan cabaran tugas, membuat keputusan dengan berkesan serta menyumbang secara optimum kepada organisasi.

“PUO sentiasa komited memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga kerjanya terus dipelihara. Program seperti ini bukan sahaja membantu individu mengurus tekanan, malah mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif serta harmoni. “Kakitangan yang sejahtera dari segi mental, emosi dan fizikal merupakan aset penting dalam memastikan kecemerlangan organisasi dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak program berbentuk pembangunan diri dan kesejahteraan psikologi dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi memperkukuh budaya kerja yang sihat dan berdaya tahan dalam kalangan warga PUO.

Penganjuran Program Santai Minda ini selaras dengan aspirasi PUO untuk melahirkan warga institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang profesional, malah memiliki keseimbangan emosi dan kesejahteraan diri yang mampan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti