Senator Michael Mujah Lihan puji usaha Politeknik Mukah santuni komuniti Uma Daro

POLITEKNIK MUKAH
16 March 2026
Komuniti

BELAGA, 16 Mac 2026 — Inisiatif pelajar Politeknik Mukah menganjurkan Program Jalinan Kasih Komuniti Uma Daro mendapat pujian daripada Senator Michael Mujah Lihan yang menyifatkan program tersebut sebagai langkah positif dalam merapatkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berlangsung dari 13 hingga 15 Mac itu dianjurkan oleh pelajar Semester 5 Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK5A) Jabatan Perdagangan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Daro di Sungai Asap, Belaga.

Seramai 23 orang pelajar bersama empat pensyarah Jabatan Perdagangan terlibat secara langsung dalam menjayakan program tersebut yang turut disertai oleh komuniti setempat.

Menurut Senator Michael Mujah Lihan yang juga Ahli Dewan Negara, program seumpama ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati masyarakat sambil menyumbang kepada pembangunan komuniti luar bandar.

“Program seperti ini amat baik kerana ia membuka ruang kepada pelajar untuk turun padang dan memahami kehidupan masyarakat setempat. Pada masa yang sama, komuniti juga mendapat manfaat melalui aktiviti yang dilaksanakan bersama,” katanya.

Beliau turut berharap agar hubungan antara Politeknik Mukah dan komuniti setempat akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan lebih banyak program pada masa akan datang.

“Saya berharap Politeknik Mukah akan sentiasa meneruskan usaha menjalin hubungan erat dengan komuniti seperti ini. Program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat perlu diteruskan kerana ia memberi impak positif kepada kedua-dua pihak,” tambahnya.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan kampung, sesi Town Hall bagi perkongsian pandangan berkaitan pembangunan dan pendidikan, Sungkei Ramadan serta Malam Kebudayaan yang menampilkan keunikan budaya masyarakat setempat.

Ketua Jabatan Perdagangan Politeknik Mukah, Adi Jaya Adam, berkata program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kursus Event Organization di samping membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.

“Pengalaman turun padang seperti ini sangat bermakna kepada pelajar kerana mereka dapat belajar secara langsung melalui interaksi dengan komuniti,” katanya.

Seorang penduduk kampung turut menyambut baik penganjuran program tersebut dan menyifatkan kehadiran pelajar sebagai satu pengalaman yang menggembirakan buat komuniti.

“Kami sangat gembira apabila pelajar datang ke kampung dan menjalankan aktiviti bersama kami. Ia bukan sahaja menceriakan suasana kampung tetapi juga mengeratkan hubungan antara komuniti dan pelajar,” katanya.

Selain itu, para pelajar turut menjalankan aktiviti penanaman pokok sebagai simbol kenangan dan lambang jalinan persahabatan antara Politeknik Mukah dan komuniti Uma Daro.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada barisan kepimpinan komuniti termasuk Pemanca Umek Jeno, Maran Uma Tuan Huvang Liah, JKKK Uma Daro, Biro Wanita serta seluruh komuniti Uma Daro yang bersama-sama menjayakan program berkenaan. – PMU

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti