
ARAU, 20 Jun 2026 – Kolej Komuniti Arau (KKA) dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Perlis telah berjaya menganjurkan Kursus Asas Kemahiran Kemasyarakatan Anggota RELA Tahun 2026: Latihan Khas Pemasangan Elektrik Satu Fasa sekali gus mencatat sejarah sebagai program seumpamanya yang julung kali dilaksanakan di Malaysia melibatkan anggota RELA dan institusi pendidikan tinggi awam aliran TVET.
Program yang berlangsung bermula 18 April hingga 20 Jun 2026 ini melibatkan penyertaan 10 anggota RELA terpilih yang diberikan pendedahan serta latihan intensif bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pemasangan dan pendawaian elektrik satu fasa. Inisiatif ini selaras dengan usaha memperkasakan kompetensi anggota RELA melalui pembangunan kemahiran teknikal yang mampu membuka peluang kerjaya dan keusahawanan pada masa hadapan.
Sepanjang tempoh latihan, para peserta telah mengikuti tiga modul utama yang memberi penekanan kepada aspek teori dan amali dalam bidang elektrik iaitu Kursus Pemeriksaan dan Pengujian Pendawaian Elektrik, Kursus Pendawaian Elektrik Litar Kuasa dan Kuasa Am serta Pendawaian Litar Akhir (Kuasa dan Kuasa Am). Modul-modul ini dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman daripada Program Teknologi Elektrik, Kolej Komuniti Arau Cawangan Kangar (KKAcK) bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran yang memenuhi keperluan industri semasa.
Majlis penutupan kursus yang berlangsung pada 20 Jun 2026 telah dirasmikan oleh Syamsul Badrin Mohsin, Timbalan Ketua Pengarah Operasi RELA. Turut hadir ialah Wan Marina Wan Mohd Nowalid, Timbalan Pengarah Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), barisan pengurusan tertinggi KKA, pegawai RELA serta warga kerja KKA dan KKAcK.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan KKA dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan serta komuniti setempat melalui inisiatif pembelajaran sepanjang hayat. Diharapkan kejayaan pelaksanaan program perintis ini dapat menjadi model kepada pelaksanaan program pembangunan kemahiran anggota RELA di negeri-negeri lain pada masa akan datang.

