
Sistem Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR), yang turut dikenali sebagai Sistem Pengecaman Plat Lesen (LPR), merupakan satu bentuk teknologi berasaskan kamera dan pemprosesan imej yang digunakan untuk mengesan serta mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan secara automatik. Melalui sistem ini, proses pengesanan kenderaan dapat dijalankan tanpa memerlukan sebarang interaksi fizikal daripada pemandu, seperti berhenti di lorong tertentu atau menekan butang pada peranti khusus. Dalam konteks pengurusan pengangkutan moden, data nombor pendaftaran yang diperoleh boleh dipautkan secara terus kepada pelbagai subsistem seperti sistem pembayaran tol elektronik, pemantauan trafik, penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta sistem pengurusan akses di kawasan tertentu.
Evolusi Sistem Pembayaran Tol di Malaysia
Dari perspektif sejarah, sistem kutipan tol di Malaysia telah melalui satu transformasi yang panjang. Pada peringkat awal, kutipan tol dilaksanakan secara manual dan berasaskan tunai, di mana pemandu wajib berhenti di plaza tol untuk membuat bayaran menggunakan wang kertas atau syiling. Kaedah konvensional ini, walaupun berfungsi dengan baik pada fasa permulaan, secara beransur-ansur menimbulkan pelbagai kekangan, khususnya dari segi kelancaran aliran trafik dan masa pemprosesan. Kesesakan yang berlaku pada waktu puncak dan musim perayaan menjadi penunjuk yang jelas bahawa sistem manual tidak lagi mampu menyokong peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya utama negara.
Seiring dengan keperluan untuk meningkatkan keberkesanan operasi, Malaysia mula memperkenalkan sistem pembayaran tol elektronik pada penghujung 1990-an. Kad pintar Touch ’n Go merupakan antara teknologi terawal yang diperkenalkan untuk membolehkan transaksi tanpa tunai di lorong khas. Perkembangan ini kemudian diperkukuh dengan pengenalan SmartTAG pada tahun 1999, yang menggunakan komunikasi inframerah bagi membolehkan kenderaan melalui lorong tol khas tanpa perlu berhenti sepenuhnya. Ketetapan kerajaan pada tahun-tahun berikutnya, yang mewajibkan penyediaan lorong Touch ’n Go dan SmartTAG di plaza tol utama, menunjukkan komitmen serius terhadap pendigitalan sistem kutipan tol.
Dalam fasa mutakhir, sistem berasaskan Frekuensi Radio (RFID) pula diperkenalkan sebagai pilihan tambahan yang lebih fleksibel. Pelekat RFID dipasang pada kenderaan dan dikesan oleh pemancar khas ketika kenderaan melalui lorong tol. Kebanyakan lebuh raya utama, khususnya di Lembah Klang, telah beralih sepenuhnya kepada kutipan tol tanpa tunai, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada transaksi tunai dan tenaga kerja di pondok tol. Dalam konteks inilah, ANPR muncul sebagai teknologi pelengkap dan berpotensi menjadi teras kepada sistem tol Aliran Pantas Berbilang Lorong (MLFF) yang tidak lagi memerlukan palang fizikal.
Faedah Sistem ANPR
Penggunaan sistem ANPR dalam kutipan tol di Malaysia menawarkan pelbagai manfaat yang berpotensi mengubah cara pengurusan lebuh raya ke arah yang lebih moden, efisien dan mesra pengguna. Teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan proses pembayaran tol, tetapi turut meningkatkan keberkesanan operasi serta memperkukuh keselamatan di jalan raya. Dengan kebolehannya mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan secara automatik, sistem ini memberi impak positif bukan hanya kepada pengguna, malah kepada pengendali lebuh raya dan pihak berkuasa..
Salah satu kelebihan utama ANPR ialah peningkatan kelancaran aliran trafik. Melalui pengesanan nombor plat tanpa memerlukan kenderaan berhenti, pengguna dapat melalui kawasan tol dengan lebih pantas dan selesa. Tidak seperti penggunaan kad atau RFID yang memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan, ANPR berupaya mengurangkan kesesakan di plaza tol, terutamanya pada waktu puncak atau ketika musim perayaan. Keadaan ini bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, tetapi turut mengurangkan risiko kemalangan kecil yang sering berlaku akibat brek mengejut atau pertukaran lorong secara tiba-tiba di kawasan tol.
Selain itu, sistem ANPR turut membantu mengurangkan kos operasi fizikal bagi pengendali lebuh raya. Dengan penggunaan teknologi ini, kebergantungan terhadap pondok tol, palang automatik dan tenaga kerja manual dapat diminimumkan. ANPR beroperasi melalui kamera resolusi tinggi dan perisian pengecaman imej, menjadikannya lebih cekap dari segi penyelenggaraan jangka panjang. Kos operasi yang sebelum ini diperuntukkan untuk penyelenggaraan mekanikal dan pengurusan kakitangan boleh dialihkan kepada peningkatan teknologi atau penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya. Secara tidak langsung, hal ini menyumbang kepada operasi tol yang lebih mampan dan kos efektif.
Sistem ini turut menyediakan ketepatan yang tinggi dalam urusan transaksi serta kemudahan audit secara digital. Setiap transaksi tol direkodkan secara automatik bersama bukti digital seperti imej kenderaan, masa, lokasi dan nombor pendaftaran. Rekod ini boleh disemak semula dengan mudah untuk tujuan pengesahan bayaran atau penyiasatan jika berlaku sebarang pertikaian. Berbanding sistem manual yang lebih mudah terdedah kepada kesilapan manusia, ANPR menawarkan tahap ketelusan dan kebolehpercayaan data yang lebih tinggi. Ini membantu pengendali lebuh raya dan pihak berkuasa mengekalkan akauntabiliti serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sistem pembayaran tol.
Satu lagi kelebihan penting ialah integrasi ANPR dengan sistem penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya. Sistem ini boleh disepadukan dengan pangkalan data pihak berkuasa untuk mengesan kenderaan yang disenaraihitam, dicuri atau mempunyai tunggakan tol. Sekiranya kamera mengesan nombor pendaftaran yang tidak sah atau belum didaftarkan, tindakan segera boleh diambil sama ada secara automatik atau melalui amaran kepada pihak berkuasa. Hal ini bukan sahaja membantu dalam penguatkuasaan undang-undang, tetapi turut memperkukuh aspek keselamatan di lebuh raya. Di beberapa negara maju, ANPR turut digunakan bagi pengawasan lalu lintas, pengesanan jenayah dan pengurusan kesalahan jalan raya secara masa nyata.
Selain peranan dalam kutipan tol dan keselamatan, ANPR turut menyumbang kepada pengumpulan dan analisis data trafik. Maklumat seperti aliran kenderaan, masa perjalanan dan pola penggunaan lebuh raya dapat digunakan untuk menganalisis kesesakan, merancang penambahbaikan infrastruktur serta merangka strategi penyelenggaraan yang lebih berkesan. Melalui analisis ini, pihak berkuasa dapat mengenal pasti waktu puncak sebenar, laluan yang paling sibuk dan jenis kenderaan yang dominan. Data skala besar yang dihasilkan daripada ANPR juga berpotensi menjadi komponen penting dalam perancangan bandar pintar pada masa hadapan.
Akhir sekali, sistem ANPR mengurangkan keperluan terhadap penggunaan tag fizikal atau peranti tambahan. Jika tahap ketepatannya mencapai tahap optimum, pengguna tidak lagi perlu memasang tag RFID atau membawa peranti sokongan tertentu. Ini memudahkan proses pendaftaran, mengurangkan beban penyelenggaraan dan selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan penggunaan bahan fizikal serta mempercepatkan pendigitalan penuh dalam sistem pengangkutan negara.
Kekurangan Sistem ANPR
Walaupun sistem ANPR menawarkan pelbagai kelebihan dari segi kelancaran trafik, kecekapan operasi dan kemudahan pengguna, ia juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan. Antara cabaran utama yang dihadapi oleh sistem ANPR ialahketepatan pengecaman nombor pendaftaran. Keberkesanan sistem ini sangat bergantung kepada kemampuan kamera dan perisian pengecaman imej untuk mengenal pasti nombor plat dengan betul. Dalam keadaan sebenar, banyak faktor boleh menjejaskan ketepatan ini seperti nombor pendaftaran yang rosak, tertutup lumpur, dilapisi kotoran atau dimanipulasi oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab. Oleh yang demikian, pemilihan kamera dan perisian pengecaman imej amatlah kritikal untuk mendapatkan data yang tepat.
Selain daripada itu, keadaan pencahayaan, sudut kamera, bayangan dan cuaca buruk seperti hujan atau kabus turut mempengaruhi prestasi sistem. Kajian telah menunjukkan bahawa sistem ANPR perlu disesuaikan dengan kepelbagaian reka bentuk plat kenderaan, tahap pencahayaan tropika dan kepadatan trafik tempatan. Dalam penyelidikan antarabangsa pula, penggunaan teknik seperti chain code dan algoritma khas amat penting bagi menangani isu pengecaman bagi plat yang tidak mengikut spesifikasi. Ini menunjukkan bahawa sistem ANPR memerlukan kalibrasi yang teliti dan berterusan bagi mencapai ketepatan yang diharapkan.
Cabaran kedua ialah kos pemasangan dan penyelenggaraan sistem yang tinggi. Pelaksanaan ANPR memerlukan pemasangan kamera berdefinisi tinggi di setiap lorong tol, pencahayaan tambahan, sistem pemprosesan imej masa nyata serta sambungan rangkaian berkelajuan tinggi untuk menghantar data ke pusat pelayan. Semua elemen ini melibatkan kos permulaan yang besar, di samping memerlukan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan kamera dan sistem berfungsi dengan baik sepanjang masa. Tambahan pula, Malaysia mempunyai ratusan plaza tol di seluruh negara, menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan sangat besar. Hal ini menimbulkan persoalan tentang pulangan pelaburan dan kebolehlaksanaan sistem dalam jangka panjang.
Ketiganya adalah berkaitan dengan isu kerahsiaan dan perundangan. ANPR beroperasi dengan merakam imej setiap kenderaan yang melalui sistem, termasuk nombor pendaftaran dan masa perjalanan. Ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana data ini boleh digunakan, siapa yang berhak mengaksesnya dan berapa lama ianya boleh disimpan. Tanpa garis panduan undang-undang yang jelas, risiko penyalahgunaan data atau pencerobohan privasi pengguna boleh berlaku. Dalam konteks Malaysia, undang-undang sedia ada seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) mungkin perlu dikemaskini atau diperluas bagi menangani penggunaan data visual dan digital dalam konteks ANPR. Kerangka perundangan yang kukuh amat penting agar kepercayaan pengguna terhadap sistem ini dapat dikekalkan.
Selain daripada itu, risiko penipuan dan penyalahgunaan nombor pendaftaran turut menjadi kebimbangan. Terdapat kemungkinan pengguna tidak bertanggungjawab memanipulasi nombor plat kenderaan mereka, sama ada dengan menukar reka bentuk, menutup sebahagian nombor atau menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak daripada dikesan. Di beberapa negara lain, kes penggunaan plat klon turut dikesan, di mana nombor yang sama digunakan oleh lebih daripada satu kenderaan. Jika sistem ANPR gagal membezakan antara kenderaan asli dan klon, risiko kesilapan caj tol atau penguatkuasaan salah boleh berlaku. Tanpa sistem pengesahan silang yang kukuh dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, masalah ini boleh menjejaskan kredibiliti sistem.
Cabaran lain ialahisu integrasi dan pemadanan data antara pelbagai sistem. ANPR perlu disepadukan dengan sistem pembayaran tol, pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan akaun pengguna seperti e-wallet atau kad kredit. Sekiranya berlaku ketidakselarasan data, kelewatan penyelarasan data atau ralat dalam pemadanan nombor kenderaan dengan akaun pengguna, ia boleh menyebabkan masalah caj tol tidak sah atau tertunggak. Oleh itu, pelaksanaan ANPR memerlukan sistem digital yang mantap serta kerjasama erat antara pelbagai agensi dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan integrasi berjalan dengan lancar.
Sementara itu, kegagalan sistem dan keperluan teknikal yang bertindan juga merupakan aspek penting yang perlu diambil kira. Keseluruhan operasi tol akan terjejas jka kamera rosak, sambungan internet terputus atau pelayan pusat gagal berfungsi. Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan pengguna dan menyebabkan kehilangan hasil kutipan tol. Justeru, perlu ada pelan strategi seperti lorong kecemasan atau mod manual sementara untuk memastikan operasi tetap berjalan sekiranya berlaku gangguan teknikal. Jika keadaan ini tidak diambil kira dengan teliti, kebarangkalian kesesakan yang teruk akan terjadi.
Tambahan pula, wujud ketidakpastian mengenai tanggungan kos dan model kewangan pelaksanaan ANPR. Peralihan kepada sistem MLFF yang menggunakan ANPR memerlukan pelaburan besar. Persoalannya, siapakah yang akan menanggung kos tersebut? Adakah ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, pengendali lebuh raya atau akan dipindahkan secara tidak langsung kepada pengguna melalui kadar tol baharu? Tanpa perancangan kewangan yang jelas, pelaksanaan sistem ini mungkin menimbulkan pertikaian antara pihak berkepentingan dan menjejaskan penerimaan masyarakat.
Akhir sekali, isu perundangan dan peraturan khusus bagi sistem ANPR masih belum ditetapkan sepenuhnya di Malaysia. Walaupun sistem ini berkait rapat dengan Akta Jalan Raya dan penguatkuasaan trafik, perlu ada undang-undang tambahan yang memperincikan aspek pelaksanaan, kawalan data dan tatacara tindakan terhadap pelanggaran. Tanpa dasar dan peraturan yang jelas, tentunya pelaksanaan ANPR berisiko terhadap kekangan undang-undang yang boleh menjejaskan keberkesanan serta keabsahan sistem.
Adaptasi Sistem ANPR di Arena Global
Untuk memahami potensi serta keberkesanan penggunaan sistem ANPR di negara kita, adalah penting untuk melihat bagaimana teknologi ini telah diterapkan di negara lain. Banyak negara maju telah mengguna pakai teknologi pengecaman plat automatik bagi tujuan kutipan tol, pengurusan aliran trafik dan penguatkuasaan undang-undang. Di Asia Tenggara, Singapura merupakan antara pelopor pelaksanaan tol elektronik tanpa palang melalui Sistem Caj Jalan Elektronik (ERP). Walaupun tidak digunakan di lebuh raya, ERP berfungsi sebagai mekanisme kawalan akses di kawasan bandar dengan mengenakan caj kepada kenderaan yang memasuki zon tertentu pada masa tertentu. Sistem ini menggabungkan sensor gelombang mikro, RFID dan kamera pengesan nombor plat untuk memastikan kutipan caj yang tepat dan efisien.
Amerika Syarikat dan Kanada juga telah lama menggunakan sistem pengenalan plat automatik untuk kutipan tol tanpa palang, dikenali sebagai sistem tol jalan terbuka. Di Amerika, negeri seperti Florida dengan sistem SunPass dan kawasan Pantai Timur dengan E-ZPass menggunakan gabungan kamera ANPR dan tag elektronik bagi mengenakan tol secara automatik. Jika kenderaan tidak memiliki tag RFID, sistem ANPR akan menangkap imej nombor plat dan menghantar invois secara pos kepada pemilik kenderaan. Sistem ini membolehkan pemandu bergerak pada kelajuan biasa tanpa perlu berhenti di plaza tol. Kaedah penguatkuasaan yang sistematik serta kerjasama dengan pangkalan data pendaftaran kenderaan menjadikan sistem ini sangat efisien dan dipercayai.
Di United Kingdom pula, pengguaan ANPR telah diterapkan secara meluas dalam sistem tol dan kawalan trafik. Contoh paling terkenal ialah Jambatan Dartford Crossing yang menggunakan sistem dikenali sebagai Dart Charge. Sistem ini tidak mempunyai palang tol, sebaliknya menggunakan kamera ANPR untuk mengenal pasti nombor pendaftaran setiap kenderaan yang melaluinya. Pemilik kenderaan kemudiannya perlu membuat pembayaran secara dalam talian atau melalui aplikasi mudah alih dalam tempoh tertentu. Sekiranya pembayaran tidak dibuat, penalti akan dikenakan secara automatik.
China pula mengimplementasikan ANPR pada skala yang jauh lebih besar. Negara tersebut telah memperkenalkan sistem tol aliran bebas di beberapa lebuh raya utama melalui gabungan kamera ANPR, sensor bawah tanah dan sensor roda. Integrasi pelbagai teknologi ini membolehkan pengenalan kenderaan dengan ketepatan tinggi sambil mengenakan bayaran tol secara automatik tanpa menjejaskan kelancaran trafik. ANPR di China juga digunakan untuk penguatkuasaan, termasuk mengesan pelanggaran undang-undang lalu lintas atau kes mengelakkan pembayaran tol. China menjadi rujukan penting dalam pelaksanaan sistem berskala besar yang menekankan kebolehpercayaan dan kecekapan teknologi.
Selain itu, Belanda serta beberapa negara Eropah lain turut memanfaatkan ANPR dalam rangkaian lebuh raya mereka. Di Eropah, teknologi ini bukan sahaja digunakan untuk kutipan tol, tetapi juga untuk keselamatan jalan raya, pengesanan kenderaan dicuri dan kawalan sempadan automatik. Banyak negara menggunakan strategi pelaksanaan secara berperingkat, bermula di lokasi strategik sebelum diperluaskan ke seluruh rangkaian lebuh raya. Kaedah ini membolehkan pihak berkuasa menilai prestasi sistem, menyelesaikan isu teknikal dan menyesuaikan dasar sebelum pelaksanaan penuh dijalankan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, ANPR berpotensi menjadi komponen penting dalam transformasi sistem pengangkutan dan infrastruktur tol di Malaysia. Jika pelaksanaannya disokong oleh teknologi yang berdaya saing, kerangka perundangan yang kukuh, model kewangan yang jelas dan tahap penerimaan masyarakat yang baik, ANPR bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan kutipan tol, malah menyumbang kepada pengurusan trafik yang lebih sistematik serta keselamatan jalan raya yang lebih terjamin. Dalam jangka masa panjang, sistem ini mampu menjadi lambang kemajuan negara dalam mengaplikasikan teknologi pengangkutan pintar yang mesra pengguna serta berasaskan data.
Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.

Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur.

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.