Siti Farah dan Siti Farhanah sahut cabaran bidang Automotif di Kolej Komuniti Jempol

KOLEJ KOMUNITI JEMPOL
25 June 2026
Umum

Jempol, 22 Jun – Minat yang mendalam terhadap dunia automotif mendorong pasangan kembar, Siti Farah Meor Zainudi dan Siti Farhanah Meor Zainudi, masing-masing berusia 18 tahun, memilih untuk melanjutkan pengajian dalam Program Sijil Teknologi Automotif di Kolej Komuniti Jempol (KKJNS) bagi Sesi I 2026/2027.

Bekas pelajar SMK Seksyen 19, Shah Alam itu berkata, bidang automotif menjadi pilihan mereka kerana mempunyai minat terhadap kenderaan selain melihat sektor berkenaan menawarkan peluang pekerjaan yang luas serta prospek kerjaya yang baik pada masa hadapan.

“Kami berharap dapat menimba ilmu dan kemahiran automotif dengan lebih mendalam sepanjang pengajian di KKJNS sebelum menyambung pengajian ke peringkat diploma dan seterusnya ijazah,” katanya ketika ditemui pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu KKJNS, hari ini.

Mereka turut mengakui sokongan dan galakan berterusan daripada bapa, Meor Zainudi Meor Hashim, 60, dan ibu, Siti Aminah Muhammad Ali, 56, menjadi faktor utama yang mendorong mereka untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pasangan kembar dari Shah Alam, Selangor itu adalah antara 118 orang pelajar baharu yang mendaftar di KKJNS hari ini.

Sementara itu, Pengarah KKJNS, Amalulkhair Sarbini, berkata proses pendaftaran dan lapor diri pelajar baharu berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata, selain urusan pendaftaran, pihak kolej turut menganjurkan sesi forum santai bersama ibu bapa bagi memberi penerangan mengenai program TVET yang ditawarkan serta menjawab pelbagai persoalan berkaitan pengajian, penginapan, kebajikan pelajar dan bantuan kewangan.

“KKJNS menawarkan tiga program pengajian peringkat sijil iaitu Sijil Teknologi Elektrik, Sijil Teknologi Senibina dan Sijil Teknologi Automotif yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran serta memenuhi keperluan industri semasa.

“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada para pelajar yang memilih KKJNS sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang TVET,” katanya.

Amalulkhair berkata, sambutan yang diterima menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap pendidikan TVET yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan lepasan sekolah.

Pada hari ini, lebih 8,000 pelajar baharu dilaporkan mendaftar di 106 kolej komuniti di seluruh negara bagi mengikuti pelbagai program pengajian yang ditawarkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja KKJNS, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) serta semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan sesi pendaftaran pelajar baharu berlangsung dalam keadaan teratur, selamat dan lancar.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti