Tuah Afiqah di Kolej Komuniti Chenderoh

KOLEJ KOMUNITI CHENDEROH PERAK
27 September 2023
Umum

19 September 2023, Nilai –  Nurul Afiqah binti Mohd Razi tidak menyangka bahawa pengajiannya di Kolej Komuniti Chenderoh membawa tuah kepadanya apabila beliau diraikan dalam Majlis Konvokesyen Komemoratif  Kolej Komuniti 2023, di Universiti Sains Islam Malaysia.

Nurul Afiqah telah menerima Anugerah Ketua Pengarah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Zon Perak dalam majlis berkenaan. 

Afiqah, anak kelahiran Bukit Gantang, Taiping, Perak merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik yang mula minat memasak sejak di bangku sekolah lagi. Beliau memulakan pengajian di Kolej Komuniti Chenderoh dalam bidang Sijil Kulinari dan seterusnya melanjutkan pengajian dalam program pengajian Diploma in Culinary Arts di kolej yang sama.

Menceritakan pengalaman paling indah sepanjang menjadi pelajar di Kolej Komuniti Chenderoh, Kuala Kangsar, Perak, beliau meraih dua pingat emas bagi acara berkumpulan masakan Tradisi Melayu dan Melayu Moden dalam Pertandingan Penang International Halal Chef di Penang pada tahun 2019.

Pencapaian terbesar Afiqah dalam bidang kulinari ini adalah apabila berjaya merangkul pingat perak di Vietnam Culinary Challenge, Ho Chi Minh, Vietnam pada tahun 2022 dalam acara individu. Beliau akui pelbagai cabaran perlu dihadapi apabila perlu memasak dari awal sehingga akhir seorang diri. Cabaran ini mengajar beliau untuk tidak berputus asa, serta memupuk ketahanan fizikal dan mental yang menjadikan beliau setanding dengan pelajar lelaki semasa dalam pertandingan.

“Beliau seorang yang rajin, tahan fizikal dan mental setanding dengan pelajar lelaki semasa dalam pertandingan.” – Khairul Ashikhin, Pensyarah Utama Program Diploma in Culinary Arts.

Afiqah yang kini bergelar commis chef di Park Royal Langkawi Resort mengimpikan beliau bergelar seorang chef terkemuka di luar negara dalam masa lima tahun akan datang. Kejayaan Afiqah membuktikan bahawa graduan Kolej Komuniti berjaya dalam bidang pekerjaan seiring dengan kehendak industri dan keperluan TVET pada masa ini.

“Jangan pernah putus asa, sentiasa positif, sentiasa bersangka baik, dan sentiasa merendah diri walau di mana pun kita berada.” katanya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti