Undang Luak Jelebu dan Kolej Komuniti Jelebu edar 1000 bekas bubur lambuk

KOLEJ KOMUNITI JELEBU
02 April 2024
Komuniti

27 Mac 2024, Jelebu – Bubur lambuk sememangnya sinonim sebagai juadah istimewa di bulan Ramadan. Keenakkan rasa dan aromanya menjadi pembuka selera setelah seharian berpuasa. Oleh itu, Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) melalui Unit Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan meneruskan tradisi tahunan di bulan Ramadan dengan mengadakan program khidmat masyarakat memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat.

Pada tahun ini, KKJU sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan Balai Undang Luak Jelebu bagi menyantuni masyarakat sekitar dan Kebawah Kaus Y.T.M Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Hj. Maarof bin Hj. Mat Rashad, Undang Luak Jelebu Ke-16 bersama Y.A.M Tok Puan Hajah Mahawa binti Haji Mohd. Som mencemar kaus turut sama memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada rakyat Jelebu.

Program ini disertai oleh pelajar-pelajar semester satu hingga semester tiga dengan melibatkan seramai 62 orang, dari Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan dan Sijil Khas Pemprosesan Makanan.

Melalui bimbingan para pensyarah, penyediaan bubur lambuk dilakukan secara bergotong-royong yang bertujuan menghidupkan suasana ‘rewang’ selain memupuk budaya kerjasama antara pelajar, pensyarah dan masyarakat.

Program ini juga menjadi ruang untuk mengimarahkan bulan Ramadan agar dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti disamping dapat meningkatkan kemahiran dan ilmu dalam pemprosesan makanan.

Para pelajar juga berpeluang mengenali dengan lebih dekat berkenaan budaya dan sistem adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan selain dapat beramah mesra dengan Y.T.M Undang Luak Jelebu. Nurainina Samad, salah seorang pelajar yang ditemui menyatakan beliau dan rakan-rakan sangat teruja untuk menyertai program ini.

“Kami telah membuat persiapan seminggu lebih awal dengan membantu pensyarah menyediakan bahan-bahan serta segala keperluan untuk memasak bubur lambuk ini. Banyak yang dapat kami pelajari terutama tentang sukatan dan teknik yang betul untuk memasak bubur lambuk.”

“Pengalaman yang paling menyeronokkan ialah kami dapat beramah mesra dengan Y.T.M Dato’ Undang Luak Jelebu yang bersama-sama memasak bubur lambuk ini,” tambahnya lagi. 

Sebanyak 1000 bekas bubur lambuk berjaya dihasilkan dan diagihkan kepada badan-badan kerajaan sekitar Jelebu seperti Hospital Jelebu, Bahagian Trafik IPD Jelebu dan RELA Daerah Jelebu.

Hadir sama Pengarah KKJU, Ishamuddin Ishak dan Dato’-dato’ Lembaga Delapan serta Orang-orang Besar Balai Undang Luak Jelebu.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti