
BENUT, 7 Jun 2026 – Seramai 35 peniaga dan usahawan komuniti sekitar daerah Benut telah menyertai Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui Kursus Pemasaran E-Dagang yang berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 Jun 2026 di Kompleks Penghulu Mukim Benut dan Kolej Komuniti Pontian.
Program anjuran Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) ini bertujuan memperkasakan komuniti setempat dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pemasaran digital serta e-dagang yang semakin penting dalam landskap perniagaan masa kini. Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada konsep asas e-dagang, strategi pemasaran digital, pengurusan platform jualan dalam talian, penghasilan kandungan promosi yang berkesan serta teknik meningkatkan capaian pelanggan melalui medium digital.
Kursus ini telah disampaikan oleh penceramah berpengalaman, iaitu En. Nurul Nizam dan Dr. Norazlina binti Ahmad, manakala urusan pelaksanaan program telah diselaraskan oleh Puan Rafidah Jusoh dan Puan Wizni dengan bantuan empat orang pelajar DLS4B sebagai fasilitator serta En. Feri sebagai pemandu program.
Majlis penutupan program turut diserikan dengan kehadiran YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, yang telah menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil PMJB sebagai tanda penghargaan atas usaha memperkasa komuniti melalui pendidikan dan latihan kemahiran.
Program ini diharap dapat membantu para usahawan tempatan meningkatkan daya saing perniagaan, memperluaskan pasaran serta memanfaatkan teknologi digital dalam mengembangkan perusahaan masing-masing selaras dengan keperluan ekonomi digital negara.

